rap

Mahligai cinta rocker otai

Oleh Mohd Sabran Md Sani & Ridzuan Abdul Rahman

PERBEZAAN usia tidak menghalang pemain bass Search, Nasir Daud, 60, mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Noraziah Saadon, 48.

Pengalaman melayari bahtera rumah tangga pada perkahwinan terdahulu menjadikan pernikahan pasangan ini lebih matang dalam membawa hala tuju kehidupan mereka.

Buktinya, sehari sebelum Ramadan, Nasir dan Noraziah atau Azie disatukan dalam majlis yang cukup sederhana, tetapi meriah.

Dengan sekali lafaz, Nasir sah bergelar suami Azie dan diijabkabulkan Kadi Daerah Johor Bahru, Zulkifli Mohamed di Bilik Nikah Pejabat Kadi Johor Bahru, Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru jam 11.30 pagi.

Nasir berkata, dia mengenali isterinya itu selama setahun sebelum memilih menjadikannya isteri.

“Kami sudah berusia dan mempunyai kematangan yang tinggi. Mengahwini Azie adalah satu keputusan tepat.

“Selepas putus tunang pada 2017, saya sudah tak fikir mengenai perkahwinan dan berasakan kekal hidup sendirian sehingga akhir hayat. Biar saya tengok anak membesar selain saya selesa bersama anak saudara. Saya juga seronok dapat kembali rapat dengan keluarga kerana merantau sejak berusia 17 tahun,” katanya.

Nasir pernah berkahwin dengan pelakon, Suhaina Yahya sebelum bercerai pada 2013. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Putera Najmi Ratna Anati, 28, dan Isabella Ratna Dewi, 20.

Selepas bercerai, Nasir mengakui dia agak sedih apabila menjalani kehidupan bersendirian termasuk ketika menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Sebelum ini saya berbuka puasa di mana-mana saja lokasi saya berada. Ketika merakamkan album terbaharu Search, Katharsis, saya kerap berbuka puasa seorang diri di studio rakaman. Kadang-kadang penerbit eksekutif dan pemilik Fenomena Music, Datuk Ahmad Zaharul Annuar datang membawa makanan. Jika tidak, saya hanya beli makanan di bazar Ramadan,” katanya.

Begitu juga dengan sambutan Aidilfitri, selama ini dia meraikannya bersama adik-beradiknya di Johor.

“Saya anak sulung daripada sembilan beradik. Jadi saya balik beraya dengan mereka dan kadang-kadang saya yang memasak untuk mereka.

“Anak jarang ikut saya balik kampung. Ada masa saya ke rumah emak di Mersing atau di rumah adik perempuan di Johor Bahru,” katanya.

Nasir berkata, adik bongsunya begitu rapat dengannya dan sanggup menyediakan bilik khas untuk keselesaannya.

“Dia rajin ambil tahu hal saya dan sediakan ubat kesihatan untuk saya. Selain Johor, adik-beradik saya ada yang tinggal di Kuala Lumpur dan Perak,” katanya.

Sementara itu, Azie yang selama ini hanya melihat Nasir di kaca televisyen beraksi atas pentas bersama Search tidak pernah menyangka menjadi pasangan hidupnya.

Bercerita mengenai perkenalan mereka, Azie berkata, semuanya bermula selepas dia diperkenalkan oleh adik perempuan Nasir.

“Mungkin sudah jodoh. Sebagai anggota Search, ramai yang mengenalinya. Sejak bersekolah, saya sudah tahu Nasir anggota Search, tapi tidak terfikir satu hari nanti bernikah dengannya,” katanya.

Sementara itu, Azie berkata, permintaannya terhadap Nasir supaya mengahwininya disambut secara ‘anak jantan’ oleh suaminya itu.

“Sebenarnya perkahwinan ini berjalan tanpa dirancang. Abang Nasir kerap datang ke Johor bertemu saya. Beberapa minggu sebelum puasa, dia kata nak bertemu saya. Ini buatkan saya kata, you kalau nak serius, buat betul-betul.

“Kalau bulan puasa you nak datang, you kena nikah dengan I, maknanya kita kahwin,” katanya.

Azie mengakui janggal keluar berdua pada Ramadan kerana Nasir dikenali ramai.

“Saya tak sangka dia buat seperti apa yang dicakapkan. Dia datang Johor minggu lalu dan terus luahkan hasratnya. Dia berurusan dengan pejabat agama dan tanya adik saya sama ada boleh jadi wali atau tidak. Semua perkara dipermudahkan dan ini jodoh kami.

“Majlis di Johor adalah majlis kecil untuk keluarga dan rakan terdekat. Insya-Allah kalau ada rezeki, kami nak buat majlis resepsi di Kuala Lumpur untuk rakan,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 5:30am
d