rap

Hairul Azreen terus berlakon walaupun cedera

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

WALAUPUN dinasihatkan doktor supaya berehat selama lapan minggu akibat ligamen kaki kanan terkoyak, pelakon Hairul Azreen tetap mahu meneruskan penggambaran kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi filem.

Hairul yang mengalami kecederaan itu ketika menjalani penggambaran filem Wira baru-baru ini, berkata, walaupun agak sukar untuk berjalan tetapi dia tetap mahu teruskan hingga dia puas hati.

"Pengarah, Adrian pun suruh saya berehat, tapi saya tak mahu menyusahkan mereka (produksi). Lagipun, jika saya berehat lama kemudian cuba memaksa diri melakukan semula babak yang masih berbaki pasti akan kembali sakit. Lagipun kecederaan ini makin pulih dan saya yakin mampu meneruskan penggambaran,” kata pelakon filem Paskal itu.

Hairul mengalami kecederaan itu ketika melakukan aksi terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan dalam filem terbaru lakonannya berjudul Wira.

Menurut Hairul, isterinya Hanis Zalikha menjadi penguat semangat untuk dia terus beraksi walaupun masih mengalami kecederaan.

Dia juga percaya isterinya amat mengenali dirinya dan tahu dia seorang yang tidak cepat berputus asa serta tahu menjaga diri.

"Antara sebab utama saya kena teruskan juga kerana isteri akan bersalin. Jadi, saya tak mahu terlepas saat itu dengan kembali ke set penggambaran. Malah, ada banyak lagu faktor lain yang turut menyumbang," katanya yang tetap bersemangat.

Hairul yang memulakan karier sebagai pelakon lagak ngeri berkata, pada awal kejadian itu berlaku, dia hampir patah semangat.

Katanya, dua hari pertama selepas kejadian, dia langsung tidak boleh berjalan sekali gus membuatkan dia takut tidak lagi boleh berlakon.

“Namun, selepas dua hari menjalani rawatan di hospital, saya berjumpa dengan pengarah dan beritahu mahu sambung penggambaran. Dua hari selepas masuk set, ada babak pertarungan jadi saya hanya bergantung kepada pil tahan sakit," katanya.

Hairul berkata, tiga hari selepas melakukan babak itu, dia sudah boleh melakukan aksi berlari dan pertarungan.

Ini bukanlah pertama kali Hairul mengalami kecederaan ketika penggambaran. Sebelum ini dia pernah patah tangan ketika menjalani penggambaran filem Paskal tahun lalu.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 10:43am
d