rap

Anzalna berpuasa walaupun sarat lapan bulan

Oleh Ramlah Zainal

“ALHAMDULILLAH, saya masih aktif dan menunaikan ibadat puasa walaupun sarat mengandung lapan bulan.

“Namun, saya berpuasa ikut kemampuan diri dan mendapat nasihat doktor,” kata pelakon jelita Anzalna Nasir ketika ditanya mengenai ibadat puasa pada tahun ini.

Menurut Anzalna, 31, jika hendak diikutkan dia mahu berpuasa sehingga menjelang kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada Jun nanti.

“Maklumlah, usia kandungan sudah lapan bulan dan pastinya setiap apa yang mahu dilakukan perlu mendapat nasihat doktor terlebih dulu.

“Saya juga tak boleh nak cakap apa kerana ada harinya badan berasa lemah dan tidak mampu meneruskan puasa.

“Sebab itu saya berpuasa ikut kemampuan diri kerana perlu memikirkan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungan,” katanya kepada Harian Metro.

Walaupun sarat mengandung, Anzalna berkata, dia tetap tidak melupakan kewajipannya memasak sahur untuk suaminya sepanjang Ramadan ini.

“Saya wajib masak sahur untuk suami sejak awal perkahwinan lagi.

“Saya bertuah suami tidak cerewet dan dia makan apa saja yang dimasak.

“Suami memang perlu makan sahur untuk memastikan dia bertenaga sepanjang berpuasa pada Ramadan,” katanya.

Terdahulu, Anzalna juga mengumumkan dia bakal melahirkan bayi lelaki dalam satu majlis sempena pelantikannya sebagai duta eksklusif jenama produk NR baru-baru ini.

Anzalna dan suami, Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 30, berkahwin pada 21 Februari 2016.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 3:28pm
d