rap

'Dah penat jadi romantik'

Oleh Ramlah Zainal

SERING melakonkan watak romantik dalam cerita adaptasi novel, penyanyi, pelakon dan pengacara popular, Alif Satar mengakui sampai masanya dia keluar dari zon selesa bagi peningkatan dalam karier lakonannya tahun ini.

Menurut pelakon yang menempa nama dalam drama bersiri popular, Dia Semanis Honey ini, dia juga mahu menampilkan sisi lakonan berbeza dalam misi menjadi pelakon serba boleh.

“Saya sudah penat melakonkan watak romantik dalam drama adaptasi novel sedangkan percaya kemampuan dalam bidang lakonan lebih daripada itu.

“Saya juga sudah membuktikan kemampuan apabila memenangi kategori Pelakon Terbaik menerusi Teater Muzikal Dia Semanis Honey sempena Anugerah Seni Boh Cameronian ke-15 pada 2018,” katanya.

Ditanya rahsia kejayaannya dalam bidang seni hari ini, kata Alif, 28, dia memang terbuka untuk bekerja dengan mana-mana produksi drama tempatan.

“Saya juga mahu menimba ilmu lakonan daripada produksi yang berbeza sekali gus memperbaiki kelemahan sedia ada. Kalau masih terikat dengan watak romantik dalam cerita adaptasi, saya tidak akan mampu pergi lebih jauh dalam bidang lakonan diceburi ketika ini,” katanya.

WATAK LELAKI MUNAFIK

Watak antagonis sebagai Zafran dalam drama bersiri 15 episod Pia terbitan JS Pictures Sdn Bhd peluang keemasan yang sukar dilepaskan Alif bagi menguji kemampuannya dalam bidang lakonan.

Dalam drama arahan Azman Yahya yang memaparkan kisah orang kurang upaya (OKU) itu, Alif bergandingan dengan Sheila Rusly, Zara Zya, Azira Shafinaz dan Naim Daniel.

“Saya terima tawaran untuk melakonkan watak Zafran kerana ia berat dan ada kelainan. Zafran bukan saja lelaki yang kurang ajar tapi munafik. Pada masa sama, saya memang menanti peluang untuk bekerjasama dengan produksi JS Pictures dan Sheila Rusly kerana dikenali kerana kualiti karya dihasilkan.

“Saya juga terpaksa belajar bahasa isyarat dengan guru khas yang disediakan di lokasi kerana Zafran perlu berkomunikasi dengan Mak Ngah Ila (lakonan Sheila) yang juga daripada golongan OKU,” katanya.

Ditanya sama ada dia tidak takut melakonkan karakter antagonis, kata Alif, sampai masanya dia mahukan variasi dalam lakonan.

“Saya juga puas kerana dapat melakonkan karakter Zafran itu. Saya juga tidak takut dibenci penonton kerana ia sekadar lakonan. Saya menimba pengalaman sangat berharga bekerja dengan Kak Sheila dan barisan kru produksinya kerana mereka antara tenaga kerja yang hebat saya pernah bekerja.

“Selepas drama bersiri Pia untuk Ramadan, saya juga terbabit dengan sambungan telefilem Pia untuk tayangan pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Pia ditayangkan setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam menerusi Slot Lestary di TV3 sejak 3 Mei lalu.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 5:30am
d