rap

Masa untuk fokus berlakon

Oleh Syanty Octavia Amry

WAJAH pelakon cantik, Amelia Henderson semakin kerap menghiasi televisyen. Tidak hanya menyerlah sebagai pelakon, Amelia turut bersinar sebagai pengacara.

Jika dulu, Amelia, 23, sangat memilih kerana enggan bawa watak yang sama. Malah, wajahnya jarang nampak di TV berikutan terikat dengan kelas tarian.

Kini, meski masih setia dengan prinsip sama, dia tidak meletakkan had berapa drama yang akan dibintangi dalam setahun.

“Dulu saya menyasarkan satu drama setahun kerana sibuk dengan kelas tarian dan tidak mahu terlalu kerap bawa watak lebih kurang sama.

“Sekarang saya sudah berhenti menari dan hanya fokus berlakon. Oleh itu, saya ada banyak masa.

“Namun begitu, saya masih memilih watak kerana menjaga kualiti lakonan. Tak mahulah nanti diri sendiri nampak teruk di kaca TV,” kata pelakon drama Cinta Non Grata ini.

Mengulas cara digunakan untuk menolak watak klise atau tidak sesuai, Amelia berkata dia akan berbincang dengan pihak produksi.

“Apabila dapat skrip dan watak yang klise, saya akan cuba berbincang dengan pengarah dan kru untuk mencari kelainan. Jika mereka setuju saya teruskan dan kalau sebaliknya, saya akan tolak secara baik. Biar sama-sama puas hati dan tidak timbul cerita kurang enak kemudian hari,” katanya.

Berkongsi mengenai karier pengacaraan pula, Amelia yang turut membintangi drama Keluarga Pontimau Berkata, dia banyak ditawarkan mengendalikan program berbahasa Inggeris.

“Seronok juga mengacara walaupun kita tidak tahu jumlah penonton tetapi selepas disiarkan produksi akan berkongsi perkara itu. Jujur, saya terkejut dengan jumlah penonton yang di luar jangkaan.

“Ada juga tawaran mengacara program bahasa Malaysia tetapi setakat ini belum kesempatan menerimanya kerana terikat dengan penggambaran drama,” katanya.

Amelia berkata, lakonan dan pengacaraan kini menjadi minat utamanya dan kedua-duanya ada cabaran tersendiri.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 5:01am
d