rap

Sahut seruan misi kemanusiaan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

JAM 3 pagi hari ini dua pelakon yang juga sahabat baik, Ardell Aryana dan Nadzmi Adhwa bertolak ke Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia bagi menjayakan misi kemanusiaan, Jejak Ramadan.

Program anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) itu memberi fokus aktiviti bantuan bekalan asas makanan kepada penduduk, membaiki surau, sumbangan hari raya dan yang lebih utama adalah kejut sahur serta masak beramai-ramai bagi menyediakan juadah berbuka puasa.

Ardell dan Nadzmi yang turut dilantik menjadi Ikon Kemanusian YDKMM berharap pembabitan mereka itu dapat menarik lebih ramai belia untuk turut serta, sekali gus menyumbang bagi membantu mangsa bencana yang dilawati.

Bagi Ardell yang kali pertama ke Palu pada 16 April lalu menyifatkan pemilihannya sebagai ikon adalah tanggungjawab besar.

“Sebelum ini saya menyertai misi mereka atas tiket sukarelawan. Sekarang apabila dilantik menjadi ikon, ia satu tanggungjawab berat. Bagaimanapun, syukur segala-galanya dipermudahkan Allah.

“Harapan saya supaya lebih banyak dana dikumpul daripada rakyat Malaysia buat mangsa gempa bumi di Palu.

“Saya sudah pergi dan lihat sendiri keadaan mereka. Paling kasihan kanak-kanak tanpa ibu bapa dan surau yang sudah musnah akibat gempa. Surau sekarang pun berbumbungkan buluh dan kanvas. Permaidani pun tak ada,” katanya.

Ardell yang juga pelakon filem Surf This Love berkongsi akan bertolak ke tiga kawasan bergolak iaitu Yaman, Afrika Tengah dan Syria menerusi program sama.

“Memandangkan saya pasukan penyelamat ‘on call’ di bawah YDKMM, jadi apabila khidmat diperlukan, saya memang kena pergi.

“Selepas Palu, saya akan ke Yaman, Afrika Tengah dan Syria. Pada mulanya sangat takut sebab ia kawasan bergolak. Ibaratnya nyawa di hujung tanduk tetapi apabila fikir semula, saya nekad untuk pergi.

“Kalau di sini pun memikirkan sesuatu perkara hingga membuatkan diri bersedih kenapa tidak ke sana untuk melihat sendiri cubaan dan dugaan yang menimpa penduduk setempat. Saya menganggap perjalanan saya baru bermula,” katanya.

Sementara itu, Nadzmi yang kali pertama menyertai program misi kemanusiaan memohon doa daripada seluruh masyarakat dan peminat supaya usaha mereka itu dipermudahkan.

“Diakui risau juga sebab tak pernah pergi tempat bencana. Kali pertama pergi terus menuju kawasan kritikal. Berbeza dengan NGO lain mereka pergi tempat yang lebih selamat. YDKMM sebaliknya sebab mereka hantar ke tempat kritikal.

“Doakan kami selamat. Niat ke sana untuk membantu dan membahagiakan mereka terutama sepanjang Ramadan ini. Difahamkan tempat sembahyang dan sumber makanan bersih tidak ada. Semua ini kami cuba bantu,” katanya.

Berbeza dengan Ardell, Nadzmi berkata, dia hanya akan terbabit dalam misi kemanusiaan itu mengikut kesesuaian jadual kerjanya.

“Saya bukan ‘on call’ macam Ardell. Saya terbabit mengikut kesesuaian jadual kerja. Cuma, saya sebolehnya akan melapangkan waktu untuk program anjuran YDKMM.

“Mereka ada juga pelawa ke Yaman, Afrika Tengah dan Syria, tetapi bergantung kepada kesesuaian masa. Kalau okay, saya akan pergi,” katanya.

Mengenai perlantikannya sebagai Ikon Kemanusiaan YDKMM Nadzmi berkata, ia sesuatu yang tidak dijangka.

“Ini kali pertama saya menyertai misi kemanusiaan dan dilantik menjadi ikon, memang tak sangka sama sekali. Apabila ditawarkan saya bersyukur sebab ada pihak memberikan peluang ini.

“Ikutkan dari dulu lagi saya nak rasa dan terbabit program sebegini, tetapi tidak ada peluang. Sekarang, sudah ada. Cuma, saya kena fikir apa tujuan ke sana dan niat sebenar.

“Jadi, saya berharap apabila kami dipilih dapatlah menarik minat remaja dan belia ke arah yang lebih baik. Kami mahu tunjukkan apa yang patut dibuat bagi manfaat bersama semua pihak,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 5:30am
d