rap

Yazit terharu dikunjungi Anwar [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari

BEKAS pemain drum Search, Yazit Ahmad, 57, terharu dan terkejut dengan kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman anaknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

Yazit yang mengalami masalah buah pinggang sejak lebih 10 tahun lalu berkata, dia sangat menyanjungi Anwar sebagai seorang legenda politik dan 'pendekar'.

"Apabila beliau menyatakan hasrat mahu berjumpa saya seolah-olah Allah kurniakan rahmat kepada saya. Ia perkara luar biasa apatah lagi beliau bekas Timbalan Perdana Menteri.

"Saya dapat tahu hasrat beliau itu semalam ketika saya dan isteri sibuk mencari katil untuk rawatan," katanya yang baru menyambut ulang tahun ke-57, Jumaat lalu.

Ditanya mengenai inti pati pertemuan hampir 25 minit itu, Yazit berkata, Anwar bertanya khabar selain ingin tahu perkembangan kesihatannya.

"Kami banyak berbual mengenai masalah dihadapi saya sebagai anak seni, bukan isu politik sebab ia memang tidak sesuai dengan saya.

"Beliau turut menyebut mengenai jasa anak seni kepada tanah air dan lawatan beliau itu memberi semangat kepada saya," katanya.

Menurut Yazit, seandainya pihak Anwar ingin menghulurkan bantuan kepadanya selepas ini, dia terima dengan hati terbuka.

Yazit turut meluahkan hasrat mendapat sokongan kewangan kerana kos rawatannya yang mencecah RM3,000 sebulan agak tinggi buatnya pada masa ini.

Ia termasuklah kos dialisis, pengangkutan, petrol, ubat-ubatan tambahan dan perbelanjaan harian.

"Buat masa ini saya mendapat bantuan rawatan dialisis dari Baitulmal selain sesekali bermain muzik bersama kumpulan buskers di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Selain Yazit, Anwar turut mengunjungi pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani pembedahan jantung, hari ini.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 6:58pm
d