rap

Video klip Sumpah beri gambaran buruk skizofrenia?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Aina Abdul belum bersedia memberi kenyataan mengenai isu muzik video rasmi lagu Sumpah yang dikatakan memberi gambaran buruk terhadap penghidap masalah mental iaitu skizofrenia.

Aina, 26, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan dan produksi mengenai perkara itu.

“Saya minta maaf, sebab buat masa sekarang belum boleh memberi komen mengenai isu ini. Lagi pula, saya masih berbincang dengan pengurusan dan produksi.

“Insya-Allah, jika sudah ada kata putus daripada kedua belah pihak, saya akan berkongsi. Paling lambat esok,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental Malaysia (MIASA) di laman Facebook rasmi mereka semalam.

Menerusi status itu, MIASA mendakwa muzik video berdurasi 4 minit 24 saat itu memberi gambaran buruk dan mengelirukan malah bertentangan dengan realiti pesakit skizofrenia.

Ditanya mengenai adakah ia gimik untuk meraih tontonan di laman YouTube, Aina sekali lagi memohon maaf dan belum bersedia mengulas.

“Maaf sekali lagi. Pihak pengurusan tidak membenarkan saya memberikan sebarang kenyataan.

“Terima kasih kerana menghubungi dan bertanyakan perkara ini. Saya hargai sangat,” katanya.

Namun, Aina yang juga bekas protege Ella pada program Mentor Legend 2014 itu mengakui muzik video itu adalah idea daripada pasukan pengurusan dan produksi.

Muzik video yang turut menampilkan pelakon Qi Razali sebagai model itu dilancarkan pada 26 Mac lalu.

Selepas lebih sebulan, muzik video itu sudah mencecah 478,000 tontonan di laman YouTube Aina Abdul.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 3:17pm
d