rap

Syafie Naswip berdepan detik cemas ibu sakit

Oleh Syanty Octavia Amry

SEMPENA sambutan Hari Ibu, pelakon Syafie Naswip turut berkongsi pengalamannya apabila pernah berdepan detik cemas ketika ibunya sakit.

Berkongsi perkara itu di Insta Story, Instagram miliknya, Syafie berkata, ibunya Noorsiah Ahmad, tiba-tiba jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital tahun lalu.

“Antara kenangan pahit dalam manis tahun lalu bila mak tiba-tiba sakit sampai masuk hospital. Sepanjang waktu itu aku ada dengannya, Alhamdulillah.

“Siapa sangka masa itu aku rasa bakal kehilangan mak sebenarnya. Tapi Alhamdulillah Allah dengar doa aku.

“Insya-Allah tahun ini kita bakal raya sama-sama lagi mak. Selamat Hari Ibu. Betapa penting kasih ibu untuk anaknya berjaya. Terima kasih untuk 9779 hari bersamamu,” tulisnya.

Pelakon filem Mukhsin itu turut memuat naik gambar bersama ibunya.

Katanya, apa yang meruntunkan diri sendiri apabila memberi ucapan kepada ibunya, kemudian wanita itu diam seketika.

“Apabila mak kau diam sekejap dan kau dengar dia tarik nafas panjang, itu bikin getar di jiwa. Allahu, momen yang paling berharga,” tulisnya.

Dia juga turut mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua dan berpesan berbuat baiklah kepada kaum ibu.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 3:42pm
d