rap

Pelajar Orang Asli teruja menyanyi bersama Jason Mraz

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI dari Amerika Syarikat (AS), Jason Mraz menunaikan impian 10 pelajar Orang Asli dari Akademi Inovasi SOLS (SOLS .ai) apabila menyanyi bersama mereka lagu I’m Yours pada satu pertemuan hari ini.

Jason, 41, bahkan sangat teruja dengan pertemuan apalagi mendapat tahu pelajar berkenaan berusaha menghafal lirik lagu terbabit dalam tempoh singkat.

“Saya sangat bertuah dapat berjumpa kamu semua. Terima kasih atas usaha untuk menghafal dan menyanyi lagu ini bersama saya hari ini.

“Kamu semua memiliki suara yang sangat bagus. Semoga kamu semua sentiasa diberkati,” katanya pada sesi bertemu media dan pelajar berkenaan di belakang pentas Axiata Arena, Bukit Jalil.

Menurut Pengarah Urusan SOLS .ai, Danutcha Catriona Singh, dia gembira apabila impian pelajar berkenaan bertemu bintang antarabangsa itu menjadi kenyataan.

“Kira-kira dua minggu lalu, label Warner Music bertanyakan jika pelajar kami boleh buat persembahan ini. Mulanya, risau juga disebabkan pelajar kami tidak fasih bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk Jason Mraz. Pastinya rakan mereka lain cemburu dengan pengalaman terindah ini,” katanya.

Jason bertandang ke sini untuk menjayakan konsert Jason Mraz Good Vibes Tour in Kuala Lumpur. Ini adalah kunjungan ketiganya menghiburkan peminat di Malaysia.

Konsert terbabit akan berlangsung di Axiata Arena pada jam 8.30 malam ini di mana penyanyi Aizat Amdan bakal tampil sebagai artis pembukaan.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 4:24pm
d