rap

Tolak tepi rasa penat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MENJADI penyanyi dan pada masa sama memegang tanggungjawab sebagai penuntut bukanlah perkara mudah.

Namun, bagi penyanyi baharu, Adam Luq, dia menolak tepi segala rasa penat semata-mata untuk mengejar cita-citanya dalam dunia seni suara.

Bagi pemilik nama penuh Muhammad Adam Luqman Shahrom, 20, cita-cita yang kini menjadi karier buatnya sebenarnya tidak lari jauh daripada tugas harian sebagai penuntut.

“Saya kini menuntut dalam semester tiga, Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Kerana itu jugalah saya realisasikan impian untuk menceburkan diri dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Ditanya mengenai strateginya untuk menyeimbangkan antara kerjaya seni dan pelajaran, Adam menyusun jadualnya dengan baik.

“Saya perlu hadir ke kelas setiap hari. Jadi, pada hujung minggu saya akan fokus kepada rangka promosi dan persembahan.

“Insya-Allah, semuanya tersusun dengan baik dan saya takkan abaikan pelajaran,” katanya.

Bagi mengukuhkan langkahnya sebagai penyanyi, Adam hadir dengan single pertamanya, Benci Merindu.

“Benci Merindu adalah karya ciptaan Asfan dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya. Konsep muziknya lebih kepada neo-balada yang sememangnya kena dengan jiwa saya,” katanya.

Bercerita mengenai Benci Merindu, Adam berkata, jalan ceritanya sangat dekat dengan pengalaman hidupnya.

“Ia mengisahkan seorang lelaki yang jatuh cinta dengan seorang wanita. Tak lama selepas kedua-duanya diulit asmara, wanita itu curang.

“Kecurangannya itu berlaku depan mata teman lelakinya. Itu adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri dan sejujurnya, saya sangat menjiwai lagu ini saat rakaman berlangsung,” katanya.

Diminta memberi pandangan sama ada dia akan menggunakan gimik untuk menularkan lagunya, Adam nampaknya punya prinsip sendiri.

“Saya sedar, gimik boleh menularkan sesuatu karya atau produk. Tapi untuk saya, rasanya akan teruskan dengan rangka promosi biasa.

“Platform utama yang saya akan gunakan adalah di media sosial selain media tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 5:30am
d