rap

Versi baharu Bisa Pertama

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEBELUM ini lagu Bisa Pertama ciptaan sepenuhnya Bayeng Black dinyanyikan penyanyi solo.

Kini, komposernya merancang satu projek khas dan memilih dua penyanyi iaitu Uchop Ahmad dan Irwan Ahmad bagi menyanyikan semula lagu berkonsep komersial rock itu.

Uchop ialah juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa manakala Irwan pula pernah bergelar protege Tam Spider dalam program Mentor Otai.

Vokal Uchop lebih terarah kepada cara nyanyian Datuk Awie sementara Irwan pula 85 peratus menyamai Allahyarham Saleem Iklim.

Gandingan mantap inilah yang mewarnai versi baharu Bisa Pertama yang turut mendapat sentuhan petikan gitar Oja dan Hadi Hassan sebagai penyusun muzik serta penerbit.

Uchop dan Irwan mengakui tidak pernah terfikir terpilih menyanyikan semula lagu ini. Paling penting, mereka tidak mahu dituduh perampas lagu orang lain.

“Saya hanya berkawan dengan Bayeng Black dan tak pernah melobi minta menyanyikan lagu Bisa Pertama.

“Isu negatif ini tak sepatutnya timbul kerana sebagai komposer dan pembiaya, dia berhak membuat keputusan terbaik untuk lagu ciptaannya.

“Lagu ini pun dimantap­kan lagi dengan beberapa penambahbaikan untuk menjadikannya lebih menarik. Jadi, tiada dakwaan ia lagu kitar semula,” kata Uchop ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu itu di Panggung Asia, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Irwan pula berkata, dia sekadar suka-suka me­nyanyikan lagu itu dalam aplikasi Smule dan tidak menyangka ia memikat hati Bayeng Black.

“Cara nyanyian saya yang tersendiri dan mempunyai iras Saleem buat Bayeng Black terpikat. Ini rezeki saya selepas keluar daripada Mentor Otai.

“Kepercayaan yang diberikan dibalas dengan nyanyian mantap daripada kami berdua agar lagu ini diterima peminat.

“Kami juga sedar Bayeng Black sudah mengeluarkan kos yang banyak untuk lagu ini dan takkan ambil bayaran royalti lagu ini. Cukup sekadar kami dapat imbuhan menerusi persembahan,” katanya.

Uchop pula menambah, dia sendiri bertungkus- lumus membantu mencari penaja majlis pelancaran lagu Bisa Pertama itu.

“Saya dapatkan penaja lokasi, sistem bunyi, pakaian, makanan dan macam-macam lagi untuk meringankan beban Bayeng Black.

“Siapa yang tak simpati mendengar dia sudah mengeluarkan kos RM40,000 bagi merakam­kan single Bisa Pertama sebelum ini.

“Jadi, saya menggunakan pengalaman yang ada untuk menjimat­kan kos yang terpaksa dikeluarkannya untuk rakaman semula lagu

ini,” katanya.

Sebagai artis yang masih baru bertapak, Irwan pula berkata, tidak timbul soal cemburu sekiranya Uchop lebih ke depan dan dipandang peminat berbanding dirinya.

“Uchop sahabat saya. Sekiranya dia ke depan pun bagi saya bukan satu masalah besar.

“Kami saling me­nyokong untuk memajukan karier masing-masing. Kombinasi saya bersama Uchop berjaya mewujudkan aura berbeza untuk lagu ini.

“Sebenarnya kami merendah diri dan saling belajar antara satu sama lain untuk berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Lagu projek khas Bisa Pertama diedarkan oleh MVM Music. Sebanyak 1,000 keping cakera padat dikeluarkan untuk jualan berserta barangan cenderahati lain buat peminat.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 6:00am
d