rap

Tolong langsai hutang, antara mesej diterima Naim

Oleh Georgie Joseph

PELAKON dan penyanyi Naim Daniel mengaku menerima pelbagai mesej mengejutkan di Instagram termasuklah ada pengikut meminta pertolongan daripadanya untuk melangsaikan hutang.

Naim, 22, bagaimanapun menganggap ia hal normal yang menimpa mana-mana artis dan enggan mengambilnya serius.

“Macam-macam saya dapat mesej yang di luar jangkaan. Terbaru ada pengikut yang minta tolong saya langsaikan hutangnya selain ada individu bertanya berapa ‘likes’ perlu dia dapat untuk keluar dengan saya.

“Bagaimanapun, saya selesa untuk sekadar membaca mesej begitu dan tidak membalasnya secara peribadi. Biasanya, saya cuma kongsikan hal yang mengaitkan saya di Instagram Story.

“Lebih baik begitu memandangkan saya cuba elakkan sebarang kemungkinan tidak diingini jika membalas mesej mereka secara peribadi. Maklumlah sekarang macam-macam boleh jadi di media sosial kan?,” katanya.

Penyanyi yang sedang meledak dengan lagu berjudul Sumpah itu juga mahu memastikan dirinya bebas daripada kontroversi dan ingin menjadi contoh positif kepada ramai peminat.

“Daripada awal masuk ke dalam industri hiburan, saya sudah ingatkan diri untuk sentiasa menjaga tata tertib sebagai artis. Saya tidak mahu kerjaya terpalit kontroversi sebaliknya dikenali disebabkan mutu dan bakat.

“Saya tidak kisah nama lambat naik asalkan mencapai impian menjadi ‘role model’ yang baik kepada ramai. Tidak mahulah orang kenal saya dengan masalah yang tidak sepatutnya,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 3:09pm
d