rap

'Saya sudah ada imam'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

BAGI pasangan yang berkahwin sudah tertulis rezeki mereka akan dimurahkan Allah dan itu yang dirasai bekas anggota kumpulan Moin, Eida Moin.

Eida atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 40, selamat bernikah dengan jejaka pilihan hati, Mohd Amril Gulkhan Abdul Rahman, 36, (Am) pada 12 April lalu di Masjid Ar Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur dengan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak serta teman rapat.

Menceritakan mengenai rutin hidup selepas bergelar isteri, Eieda yang kini aktif berlakon mengakui banyak yang berubah.

“Tidak dinafikan saya berasa kekok memandangkan sudah lama bergelar ibu tunggal. Enam tahun menjanda selepas bercerai dengan Mohamad Naquib Idris, saya hanya hidup bersama anak tunggal, Nur Dhia Dania, 11.

“Tahun ini saya berpuasa bersama insan bergelar suami dan insya-Allah akan beraya bersama. Dania sendiri kekok kerana sepanjang kami berkawan dia memanggil Am dengan panggilan ‘uncle’ tetapi sekarang ‘papa’.

“Am sendiri meminta Dania memanggilnya ‘papa’ dan perkara itu membuatkan Dania kadang-kadang keliru dan masih memanggil Am dengan panggilan ‘uncle’,” katanya.

Kata Eida sepanjang hampir empat tahun mengenali Am, mereka selalu bertemu tetapi apabila hidup bersama lain situasinya.

“Dania tidur dengan saya setiap malam. Selepas saya berkahwin Dania tetap mahu tidur bersama saya walaupun dia ada bilik sendiri. Sudahnya Am kena tidur dalam bilik Dania. Alhamdulillah, suami sangat memahami,” katanya.

Ramadan kali ini sangat berbeza bagi Eida apabila suami tercinta menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk dia dan Dania.

“Saya terharu apabila Am mengejutkan kami untuk bersahur dan juadah sudah tersedia atas meja. Am suami yang ringan tulang, banyak kerja rumah dia buat dan bantu.

“Ternyata jodoh saya kali ini sangat tepat kerana sebelum ini saya sering malang dalam soal teman hidup. Mungkin ini juga ganjaran yang Allah berikan atas dugaan yang saya hadapi dalam hidup berumah tangga sebelum ini. Dia anugerahkan lelaki terbaik buat saya pada waktu yang tepat,” katanya.

Eida turut berkongsi rezekinya semakin murah sebaik merancang mahu berumah tangga. Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa bersyukurnya dia apabila tawaran datang bersilih ganti.

“Kami sudah lama berkawan rapat dan kalau pergi ke mana sahaja orang selalu pandang-pandang. Situasi itu buat saya rasa tidak tenang.

“Apabila saya ambil keputusan berkawan dengan lelaki bujang, ramai mengata dan disebabkan itu saya mahu berkahwin secepat mungkin. Bayangkan sebaik saja bersetuju hendak bernikah, kami tak ambil masa yang lama untuk buat persiapan. Kira-kira dua bulan sahaja.

“Alhamdullilah, suami juga disayangi semua ahli keluarga saya. Tidak dinafikan dia memanjakan saya dan anak tetapi pada waktu sama dia agak tegas. Paling menggembirakan saya, sekarang dapat bertarawih dengan suami dan sudah ada imam dalam rumah kami.

“Ada perkara yang saya tidak pernah dapat sebelum ini saya peroleh sekarang. Saya tidaklah kata kami ini sempurna sangat. Kami manusia biasa dan punya kelemahan. Tipulah kalau kata kami tidak pernah berselisih faham.

“Apabila sudah duduk sekali baru kita tahu siapa pasangan kita yang sebenar. Ada perkara sangat berbeza sewaktu kita kenal dan bercinta dulu. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Am rasional orangnya. Sebagai contoh apabila anak mahu tidur bersama saya dia kata biarlah jangan dilarang kerana takut nanti dia berasa dipinggirkan.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 6:30am
d