rap

Rashidi perlukan teman untuk berkongsi cerita

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA belum temui pengganti tetapi sudah bersedia untuk berkawan dengan orang lain.

“Selepas melalui episod duka dalam hidup, saya juga perlukan seseorang untuk berkongsi cerita setiap hari,” kata pelakon Rashidi Ishak, 45, ketika ditanya sama ada dia sudah memiliki teman istimewa ketika ini.

Mengenai kriteria teman istimewa yang dicari, kata Rashidi dia tidak meletakkan had usia untuk mengenali seseorang wanita itu.

“Saya tidak letak sasaran dari segi usia untuk berkawan tetapi pastinya saya tidak mahu keluar dengan wanita yang jauh lebih muda atau sebaya dengan anak perempuan.

“Apa yang penting, kami serasi untuk berbual dan dia ada daya penarik kerana itu sudah memadai,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada ada wanita yang cuba mendekatinya ketika ini, Rashidi tidak menafikannya.

“Ada yang cuba mendekati tetapi saya mencari seseorang yang memahami dan boleh meluangkan masa bersama serta berbual.

“Apapun, buat masa ini, fokus saya pada diri sendiri, anak dan karier,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rashidi, dia mengambil tempoh setahun untuk menerima hakikat jodohnya dengan bekas isteri, Vanidah Imran, 46, sudah berakhir selepas 18 tahun hidup bersama.

“Kini, saya okey saja seandainya Vanidah sudah bertemu insan lain sebagai pengganti.

“Saya juga sentiasa mendoakan dia bertemu jodoh yang terbaik serta boleh menjaganya," katanya.

Rashidi dan Vanidah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2000 tetapi mereka memutuskan untuk bercerai pada 9 Ogos tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, pasangan selebriti itu dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Imran, 18, dan Maryam Rashika, 15.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 2:36pm
d