rap

Eyka Farhana dikejarkan ke hospital

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON Eyka Farhana, dikejarkan ke hospital pagi tadi oleh pengurus produksi drama bersiri, Cinta Itu Fairytale yang kini sedang menjalani penggambaran.

Eyka mengalami kesakitan di bahagian perut, menyebabkan penggambaran yang turut membabitkan pelakon dari Indonesia itu dihentikan serta-merta.

Sewaktu dihubungi hari ini, Eyka berkata, dia kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta dan baru saja selesai melakukan ujian ultra bunyi.

Bagaimanapun katanya, doktor belum lagi dapat memastikan apakah punca kesakitan dialami.

“Sebenarnya sudah tiga hari saya mengalami sakit di bahagian perut. Bagaimanapun kerana sibuk di lokasi penggambaran drama Cinta Itu Fairytale, saya cuba bertahan.

“Sebagai pelakon utama saya tidak punya pilihan kerana setiap hari penggambaran dijalankan membabitkan watak lakonan saya. Jadi saya tidak berpeluang untuk ke hospital lebih awal,” katanya.

Kata Eyka yang mula dikenali menerusi filem Juvana dan Polis EVO, sakit dialami semakin teruk pada hari ini.

Malah sewaktu bangun pagi dan hendak bersiap ke lokasi penggambaran dia sudah berasa lemah kerana menahan rasa sakit yang melampau.

“Doktor sendiri belum pasti apakah punca sakit yang saya alami. Seorang doktor menyatakan yang saya mengalami apendiks dan seorang lagi mengatakan saya mungkin mengalami cyst.

“Saya sendiri berasa bimbang dengan perkembangan ini. Kata doktor, sekiranya saya mengalami apendiks, pembedahan harus dilakukan dengan segera,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 2:58pm
d