rap

Pujuk ibu datang malaysia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

WALAUPUN dipisahkan jarak, hubungan antara anak dengan ibu sentiasa erat dan bagi Mark Adam dan dia sentiasa menyimpan hasrat untuk membawa ibunya ke Malaysia.

Namun, hasrat itu sentiasa ditolak ibunya yang sudah berusia kerana takut menaiki pesawat.

“Tahun ini saya bertekad untuk terus memujuknya tetapi tetap gagal. Saya nak dia datang melihat Malaysia kerana dia belum pernah datang ke sini lagi,” katanya.

Disebabkan itu, dia dan isterinya akan pulang ke Filipina beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Bercerita mengenai pengalaman berpuasa tahun ini, Mark atau nama penuhnya Fikri Mark Adam Abdullah berkata, masanya banyak dihabiskan di set penggambaran drama bersiri Keluarga Bahadon sehingga bulan depan.

“Cabarannya tak banyak kerana ini bukan kali pertama saya menjalani penggambaran ketika Ramadan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Bercerita mengenai drama bersiri yang akan ditayangkan di laman web penstriman Viu itu, Mark berkata, dia membawa watak sebagai Angelito Jerito Papito.

“Watak saya sebagai orang kanan kepada Mat Don lakonan Khir Rahman. Apa yang menarik, watak saya adalah seorang yang serius, namun ada beberapa situasi yang tidak dijangka berlaku,” katanya.

Selain Khir Rahman, Mark juga bersyukur kerana diberi peluang berlakon bersama beberapa nama besar dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, ini satu peluang dan pencapaian buat diri saya secara peribadi kerana dapat berlakon bersama mereka yang lebih berpengalaman antaranya Nam Ron serta Remy Ishak,” katanya.

Bersempena Ramadan ini, Mark bersyukur kerana setiap tahun, dia semakin banyak mendalami ilmu mengenai Islam.

“Tahun ini sudah masuk tahun ke-16 saya berpuasa sebagai umat Islam dan tentunya saya belajar banyak benda dan ilmu mengenai agama ini. Semakin banyak saya belajar, semakin banyak yang saya mula faham.

“Harapan saya, semoga Ramadan tahun ini akan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini buat kita semua. Insya-Allah,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 6:30am
d