rap

'Kami tetap menyayangimu'

Oleh Ramlah Zainal

“WALAU apa pun terjadi, kami sangat menyayangimu.”

Demikian kata-kata pelakon Datin Diana Danielle, 27, yang dimuat naik di Instagram malam tadi selepas suaminya, pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya akibat kesalahan dadah, semalam.

Status yang dimuat naik kira-kira jam 8 malam itu turut disertakan gambar dia bersama Farid serta dua anak mereka iaitu Muhammad dan Nur Aurora.

Dalam hantaran yang sama, Diana turut menulis status dalam bahasa Inggeris iaitu ‘life throws us lemons but we have mastered the art of making lemonades’ yang membawa maksud apa saja tohmahan dilemparkan, mereka sudah lali dan tahu apa yang lebih baik dan boleh dimanfaatkan.

Hantaran itu menerima lebih 50,000 ‘likes’, namun Diana dilihat sudah menyekat ruangan komen.

Sementara itu, dalam hantaran sebelum itu, rata-rata pengikutnya memberi kata-kata semangat buat Diana untuk berdepan dengan dugaan dalam rumah tangganya itu.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen Diana sejak semalam tidak berjaya kerana talian telefon bimbitnya ditutup.

Sebelum ini, mahkamah memerintahkan Farid membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan THC yang juga dadah ditemui pada ganja di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 12:21pm
d