rap

Bubur lambuk Abam Bocey percuma 22 Mei ini

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

MENJADI kelaziman buat pelawak, Abam Bocey dan keluarga menyediakan bubur lambuk setiap kali Ramadan menjelma.

Abam, 31, atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan yang kini membantu adiknya berniaga mi, kuetiau dan bihun kejung di Bazar Batu 8, Jalan Gombak berkata, bubur lambuk itu kemudiannya diagihkan kepada masyarakat sekitar sana.

"Kami memang buat bubur lambuk setiap tahun. Cuma tahun ini kami buat lebih sedikit sebagai sedekah jariah untuk anak saya yang bakal lahir.

"Selalunya kami masak 20 kilogram beras, tapi tahun ini kami tambahkan kepada 30 kilogram beras.

"Tahun ini kami pilih 22 Mei untuk edarkan bubur lambuk ini. Sesiapa saja yang lalu akan dapat tanpa mengira agama. Mereka yang teringin nak rasa boleh datang jam 5 petang," katanya kepada Harian Metro.

Abam berkata, bubur lambuk itu adalah hasil air tangan dia dan adik-beradiknya sendiri.

"Kami akan buat sendiri semuanya kerana ini lebih afdal.

"Selain itu, saya turut dapat bantuan 10 ahli daripada kelab peminat untuk memasak," katanya.

Bercerita perkembangan seni, Abam mengakui tidak mahu mengambil banyak tawaran berlakon pada Ramadan ini.

"Saya lebih suka tolong adik cari duit raya dengan membantunya berniaga.

"Selain itu, saya juga teruja nak sambut kelahiran anak dijangka pada pertengahan Jun nanti.

"Sambil berniaga, sambil saya tengok barang anak secara dalam talian kalau ada yang berkenan," katanya.

Menurutnya, selepas sambutan Aidilfitri nanti, dia akan mengadakan kenduri bagi menyambut kelahiran anaknya.

"Ia untuk sambut anak kerana saya anak lelaki sulung dalam keluarga.

"Majlisnya sederhana dan saya akan jemput mereka yang sudi hadir nanti.

"Saya sebenarnya tak buat imbasan untuk tahu jantina anak. Cuma saya agak ia lelaki," katanya.

Abam berkahwin dengan Norhidayah Mohd Ali pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 6:46pm
d