rap

Gemilang 23 tahun

Sudirman Mohd Tahir

SIAPA tidak kenal kumpulan nasyid Raihan? Nama mereka bukan saja harum di Malaysia tetapi juga luar negara.

Kerjaya seni dibina sejak 23 tahun lalu menjangkau enam benua. Mereka mengembara dengan berbekalkan lagu nasyid atas tujuan menghibur dan berdakwah.

Raihan juga sebuah jenama yang tiada bandingnya. Ketika pelbagai kumpulan nasyid baharu timbul, mereka tetap diminati daripada kanak-kanak hingga orang dewasa termasuk warga tua.

Menjadi perintis irama nasyid kontemporari dalam negara, mereka juga dijadikan asas rujukan nasyid kontemporari dunia.

Lagu seperti Puji Pujian, Iman Mutiara dan Syukur membawa Raihan ke puncak populariti dan mencatatkan rekod penjualan album tertinggi di Malaysia.

Difahamkan, sehingga hari ini album sulung mereka, Puji Pujian terjual lebih 3.5 juta unit di seluruh dunia. Rekod ini belum mampu diatasi mana-mana artis di Malaysia.

Walaupun lebih 10 tahun tidak muncul dengan lagu baru, Raihan masih boleh ‘bernyawa’. Berbekalkan karya sedia ada, mereka hidup dan relevan sepanjang masa di mana saja.

Daripada berlima, tinggal berempat, Raihan terus berdiri memperjuangkan irama sama dengan tiga anggota iaitu Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim.

Apa yang menjadi impian kini adalah mengadakan konsert besar-besaran.

Che Amran berkata, jika terdapat penaja yang sudi bekerjasama, besar tapak tangan nyiru mereka tadahkan.

“Memang ada niat ke arah itu dan menjadi impian kami nak buat konsert di stadium. Peminat kami merangkumi semua lapisan usia, jadi kena tempat terbuka. Memang nak sangat mengembalikan nostalgia lagu lama. Sekiranya ada penaja, apa salahnya.

“Selama ini kami merancang, tapi kekangan bajet. Pada masa sama, kami tidak boleh asal buat. Alang-alang nak buat, kena yang hebat. Baru puas hati.

“Diakui persembahan membabitkan nasyid memang berat orang nak taja. Jadi, untuk masa sekarang saya berharap akan ada pihak yang buka mata. Nasyid ini ada peminatnya dan boleh diniagakan,” katanya.

Che Amran berkata, beberapa pihak dari luar negara juga dalam perancangan untuk membawa mereka kembali mengadakan persembahan di sana.

“Sebelum ini kami pernah buat konsert di Algeria, Perancis, Kanada, Indonesia dan banyak lagi. Malah ada tempat berulang kali.

“Semua ini berlaku dalam tempoh 10 tahun lalu. Sekarang, mereka nak panggil kami lagi dan merancang ke arah itu. Apa-apa pun, kami okey saja. Bagi kami, selagi masih ada permintaan kami tidak akan berhenti menyebarkan dakwah. Malah itu yang kami bawakan sejak dulu,” katanya.

Bercerita mengenai kejayaan bertahan sehingga sekarang, Che Amran mengakui sokongan peminat tanpa henti membolehkan mereka terus berdiri.

“Tahun ini Raihan sudah 23 tahun dalam industri muzik. Kami pencetus irama ini dan pernah mencipta fenomena. Secara peribadi, saya berasakan nama Raihan sudah kukuh.

“Biarpun irama ini tidak lagi segah dahulu, peminat masih mencari kami. Berkat sokongan semua menjadi lagu kami tidak lapuk.

“Banyak acara Islamik memerlukan lagu nasyid, alhamdulillah kami masih dicari. Jenama yang ada pada kami itu cukup membantu,” katanya.

Kejayaan gemilang Raihan

Bagi generasi baharu, mungkin ramai tidak tahu Raihan pernah dijemput Ratu Elizabeth II untuk membuat persembahan nyanyian di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Edinburgh, Scotland.

Raihan turut diundang mengadakan persembahan sempena penutup Sukan Komanwel di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1998 dan menerima surat penghormatan daripada Putera Charles untuk persembahan mereka.

Pada 1997, Raihan menjayakan persembahan jelajah seluruh Malaysia. Raihan juga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membuka hati Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk membenarkan hiburan berkonsep Islam.

Raihan juga menjadi artis Malaysia ketiga yang membuat persembahan di Royal Albert Hall, London selepas Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Pada persembahan itu, Raihan berduet dengan Yusuf Islam menerusi lagu God Is The Light dan Rakan Selawat dalam versi Inggeris.

Album pertama mereka, Puji-Pujian yang dilancarkan pada 2007 terjual lebih 1.5 juta unit manakala jumlah keseluruhan album sebanyak 18 termasuk kompilasi terjual 3.5 juta unit termasuk jualan antarabangsa.

Album itu juga menjadi ‘all time Malaysia’s best album’ (1.5 juta) dan 66 kali platinum. Ia sekali gus meninggalkan pencapaian diraih Ella dan Siti Nurhaliza.

Raihan juga mencipta sejarah apabila menerima 17 trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Mereka juga beberapa kali tersenarai dalam anugerah 500 Most Influential Muslim in the World.

Selesa bertiga

Selepas 15 tahun tanpa Nazrey Johani, Che Amran mengakui mereka selesa kekal bertiga.

Walaupun banyak permintaan untuk mereka kembali bergabung, Che Amran berkata, bukan dalam tempoh terdekat.

“Diakui, peminat tidak boleh terima orang baharu dalam Raihan. Pernah ada anggota baharu menggantikan Ustaz Nazrey, tapi tak lama. Peminat nak juga anggota asal walaupun hanya bertiga.

“Mengenai Nazrey, bukan dalam masa terdekat. Lagipun, dia juga sibuk dengan aktiviti lain. Kami okey dan masih berhubung, cuma tidak kerap. Doakan saja yang terbaik buat kami,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terkini, Che Amran berkata, mereka masih mendapat undangan menyanyi dan bakal terbabit dalam program jelajah United Kingdom pada Oktober ini.

“Ramadan kali ini, kami meneruskan aktiviti macam biasa iaitu mengadakan persembahan dan memenuhi program berbuka puasa.

“Insya-Allah, 10 Ramadan terakhir ini kami akan mengerjakan umrah yang dibawakan oleh syarikat Andalusia. Ini tahun kedua mereka bekerjasama dengan kami.

“Projek lain, insya-Allah pada 15 Jun ini kami akan membuat persembahan sempena Tilawah Al Quran peringkat Sumatera di Indonesia.

“Insya-Allah kalau menjadi, ada badan bukan kerajaan (NGO) nak membawa kami untuk jelajah United Kingdom. Segalanya masih dalam perbincangan,” katanya yang juga terbabit dalam program Percutian Wisata Rohani Aceh, 4 hingga 7 Julai.

Mengenai lagu baharu, mereka merancang muncul dengan single pada penghujung tahun ini.

Tumpang populariti Alif Satar

Sesuatu yang luar biasa apabila lagu rakaman semula, Sesungguhnya 2019 nyanyian bersama Alif Satar menjadi tular dan menduduki tangga teratas trending YouTube Malaysia.

Che Amran berkata, dia tidak kisah jika ada beranggapan mereka menumpang populariti Alif.

“Kami tidak merancang tular dan trending. Lagu ini lebih kepada visi Alif sebab ia adalah idea daripadanya. Sejujurnya, tidak menjangka juga pada zaman sekarang lagu nasyid boleh trending.

“Apabila lagu ini dilancarkan pada Ramadan dan dengan izin Allah lagu ini meletup, secara tenikalnya, kerjasama kami menjadi.

“Saya okey dan bersetuju jika pada masa sama kami menumpang populariti Alif. Cuma, saya melihat kejayaan ini lebih kepada menemukan dua generasi baharu sekali gus mengumpul peminat baharu dalam kalangan peminat Alif,” katanya.

Sementara itu, Alif mengakui terkejut dan tidak menjangkakan sambutan hebat diterima selepas melancarkan lagu itu pada 9 Mei lalu.

Sejak dimuat naik di saluran YouTube Alif Satar, video itu sudah mencecah lebih 2.8 juta tontonan.

“Saya memang suka lagu Sesungguhnya dan Raihan adalah kumpulan yang yang menjadi idola ketika zaman kanak-kanak. Apabila tengok jumlah tontonan mencecah lebih dalam tempoh dua hari, saya memang terkejut.

“Sebenarnya, ini adalah projek ‘suka-suka’ yang pada awalnya untuk mengimbau kenangan zaman kanak-kanak saya yang membesar bersama lagu Raihan.

“Sedar tak sedar, usia lagu ini sudah 23 tahun. Jadi, ia umpama mengimbau kenangan bukan saja untuk saya, tapi juga buat semua yang mendengar,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 4:30am
d