rap

Orang lain buat hal, Ustaz Hamadi yang kena

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Azhan Rani meminta warganet lebih peka pada sensitiviti golongan selebriti yang ditimpa musibah seperti membabitkan perceraian.

Azhan, 43, meminta masyarakat supaya tidak kemaruk sangat bersorak dengan kemelut atau musibah yang melanda orang lain.

"Sebabnya, kena beringat juga kerana segalanya itu adalah peringatan untuk diri sendiri. Kita tak tahu apa pula bentuk ujian kita nanti.

"Dalam hal sebegini, harus ingat bahawa apa saja boleh terkena kepada kita atau keluarga sendiri. Jangan bila dah kena nanti, baru tahu tak kelakar lagi," katanya.

Azhan yang cukup popular dengan watak Ustaz Syed Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 memberitahu kini dia sering dikaitkan dengan apa saja kisah sensasi orang lain.

"Individu lain yang buat, namun saya tetap kena kaitkan. Foto saya disunting sesuka hati oleh warganet yang nak 'membawang'.

"Mereka sangat bangga kalau dapat isi kandungan baru yang boleh tular dan menaikkan jumlah ‘likes’ atau perkongsian,” katanya.

Menurutnya, dengan perceraian Aliff Aziz dan Bella Astillah yang hangat diperkata kini, bertalu-talu pula orang 'tagged' isu berkenaan kepadanya.

"Saya tak ada kena-mengena langsung dalam isu mereka. Jadi, tak perlu 'tagged' pada saya pun. Namun, saya dapat bayangkan situasi dihadapi Bella, sudah tentu dia tak sempat nak bernafas sebab kena 'tagged' tak berhenti-henti.

"Apapun, dari sudut lain yang saya nampak itulah amaran keras masyarakat untuk golongan selebriti seperti saya. Kalau tak nak terjebak, jangan bagi peluang jadi bahan tak elok pada warganet untuk 'membawang'," katanya.

Azhan berkata, golongan selebriti pun ada kalanya 'meminta' untuk ‘dibawangkan’ yang menjadi hiburan warganet masa kini.

Sempena Ramadan ini, Azhan yang sibuk di lokasi penggambaran tampil dengan dua naskhah drama radio iaitu Ragaman Ramadan di Kool FM dan Terima Kasih Fuad Ramadan di IKIM FM.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 3:23pm
d