rap

Edrie selar budak K-pop kutuk Awie

Oleh Rudy Imran Shamsudin

KOMPOSER dan pemuzik Edrie Hashim menyelar peminat yang menghina dan mengutuk Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie kerana mempertikaikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu membawa masuk kumpulan popular Korea, BTS ke negara ini.

Penyanyi utama kumpulan Wings itu mempertikaikan perkara itu kerana menelan belanja RM4.2 juta bagi melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia.

Edrie menerusi video yang muat naik di laman sosial berkata, kebanyakan peminat yang menghina dan mengutuk Awie itu masih mentah dan terlalu muda.

Katanya, mereka hanya ‘gilakan’ artis dari Korea dan tidak memahami isu dalaman industri tempatan yang cuba diketengahkan Awie.

Menurutnya, setiap orang mempunyai pandangan dan pendapat sendiri membabitkan kenyataan dikeluarkan Syed Saddiq yang mahu membawa BTS mengadakan konsert di sini sebagai sebahagian kempen Tahun Melawat Malaysia.

Katanya, dalam hal terbabit Awie mempunyai sebab untuk berasa marah dan penyanyi rock itu mempunyai ‘isi’ tepat serta betul membabitkan isu terbabit.

“Bagaimanapun apabila Awie mengeluarkan kenyataan dan pandangannya dimuatkan di laman sosial miliknya mengenai isu terbabit, ramai peminat kumpulan BTS yang rata-ratanya masih muda masuk dan mengecam Awie.

“Membaca kutukan dan hinaan diberikan dalam hati saya mereka masih mentah dan tidak faham apa yang cuba disampaikan tetapi berani memberikan kata-kata pedas.

“Perkara itu tidak sepatutnya dilakukan seorang budak kepada orang tua. Rasa hormat mereka langsung tidak ada,” katanya.

Kata Edrie, mereka yang menghina Awie disifatkan tidak mempunyai jati diri apatah lagi mahu menyokong karier artis tempatan.

“Mereka mempertahankan BTS seperti mereka orang Korea. Mereka itu berangan, sedangkan BTS anggap peminat di sini sama seperti peminatnya di Sri Lanka, India mahupun Myanmar.

“Cara mereka kutuk menunjukkan mereka tidak tahu apa yang berlaku dalam industri muzik tempatan. Mereka hanya nampak dan tengok dari mata kasar dan semangat untuk menaikkan nama penggiat muzik tempat langsung tidak ada. Melihat perkembangan ini buat saya sedih,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar peminat BTS mengutuk Awie sudah ‘sendu’, tidak laku dan tidak ada kerja serta disebabkan itu dia sengaja mengeluarkan kenyataan seperti itu bagi meraih perhatian.

“Masalahnya yang mereka kata begitu adalah Awie yang popularitinya bukan setakat dalam kalangan mereka sekarang ini tetapi juga zaman ibu bapa mereka.

“Mereka boleh kutuk seorang ikon muzik negara. Langsung tak ada rasa hormat atas pencapaian diperoleh Awie,” katanya.

Edrie berkata, dia tidak terkejut kerana selalunya itulah yang sering berlaku di Malaysia dan apa saja pencapaian yang diraih selepas lima atau enam tahun orang sudah lupa.

“Tahu sebab apa ia berlaku kerana kebanyakan penggiat seni tempatan walaupun sudah mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara tetapi ramai yang tidak kaya.

“Ramli Sarip pernah berkata kita tidak boleh samakan industri muzik Korea dengan Malaysia, sebab Malaysia ada banyak benda salah.

“Pemikiran salah, pengurusan muzik salah dan politik kita juga salah yang menyebabkan kita susah untuk berkembang. Namun perkara seperti ini budak-budak yang gilakan artis K-pop tidak akan faham dan tak mahu faham,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 6:48pm
d