rap

Konsert tribute sempena sedekad pemergian Asri Rabbani

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SETIAP kali Ramadan, ahli kumpulan Rabbani pasti merindui Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dan tahun ini genap 10 tahun pemilik suara lunak itu meninggal dunia.

Rabbani yang dianggotai Azadan Abdul Aziz, Mohd Asri Baidul @ Ubaidullah, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman tidak pernah sedetik pun melupakan rakan seperjuangan mereka.

Seiringan itu Azadan berkata, Rabbani merancang untuk mengadakan persembahan tribute bagi mengenang Ustaz Asri sempena satu dekad pemergiannya.

“Ketika hayatnya, arwah sentiasa berpesan supaya kami meneruskan perjuangan Rabbani biarpun selepas ketiadaannya.

“Sedar tak sedar, arwah sudah 10 tahun meninggalkan kami dan terfikir untuk mengadakan satu konsert khas bagi mengenangnya.

“Insya-Allah konsert ini akan diadakan pada Ogos ini dan kami sedang melihat lokasi yang sesuai untuk diadakan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Rabbani tidak berseorangan kerana akan menampilkan beberapa artis yang pernah bergandingan dengan mereka.

“Kami pernah berduet dengan beberapa artis antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Mawi dan terbaru muncul berduet dengan Daqmie menerusi lagu Marhaban Ya Rasulullah.

“Memang kami bercadang untuk menjemput mereka terbabit sama dan diharapkan mereka sudi bersama-sama memeriahkan konsert ini.

“Kami juga berharap ada mana-mana pihak atau syarikat untuk bekerjasama sebagai penaja bagi merealisasikan impian ini,” katanya.

Allahyarham Ustaz Asri meninggal dunia pada jam 10.30 pagi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke pusat perubatan swasta pada 13 Ogos 2009.

Sementara itu, Azadan mengakui Rabbani tidak duduk diam sepanjang Ramadan kerana terbabit dengan pelbagai undangan persembahan, selain berniaga di Bazaraya Irama Selebriti di SB Mall, Sungai Buloh.

“Rabbani tak pernah berniaga pada Ramadan sebelum ini. Kami nak cuba nasib dengan buka booth menjual produk Jus Ramadan Rabbani, Jus Kurma Gold dan produk keluaran Najya Beauty.

“Pada 22 hingga 26 Mei, kami akan menghiburkan peminat pada majlis berbuka puasa di The Garden Palace D’Saji Titiwangsa.

“Manakala selebihnya kami diundang oleh syarikat korporat bagi menjayakan majlis berbuka puasa. Rabbani juga akan terbang ke Kuching pada 29 hingga 31 Mei,” katanya.

Mereka juga akan ke Pulau Pinang pada 1 Jun untuk Karnival Mahabbah Ramadan Syawal di Pulau Pinang dan pada 2 Jun di Baling, Kedah.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 7:09pm
d