rap

Artis beri reaksi berbeza

Oleh Amirul Haswendy Ashari

AKHBAR ini kelmarin melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) tidak menolak cadangan beberapa penggiat muzik tempatan yang mahukan industri muzik turut berada di bawah perbadanan itu.

Antara alasan mereka berkaitan isu royalti, pembangunan, pendidikan dan kebajikan industri muzik yang didakwa kurang diambil perhatian selain terlalu banyak badan pelesenan mengutip royalti muzik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Nadzri berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) turut meminta FINAS membantu industri muzik sama seperti dilakukan ke atas industri perfileman.

Apatah lagi dalam Draf Rang Undang-undang Kemajuan Industri Muzik 1998 dan Akta Muzik, mesyuarat Ahli Perbadanan pada tarikh 10 September 1991, ahli turut mencadangkan aktiviti berkaitan industri muzik dimasukkan ke dalam bidang kuasa FINAS.

Antara aspirasinya adalah mengadakan satu peruntukan khusus untuk menjalankan kajian, penyelidikan dan khidmat nasihat, mengawal selia pelaksanaan projek atau program berkaitan muzik, memberi insentif kewangan atau kemudahan kredit, menubuhkan institusi, pusat dan bengkel untuk penyelidikan dan apa saja aktiviti berkaitan kemajuan industri muzik.

Cuit Sikit minggu ini cuba mendapatkan pandangan beberapa penggiat muzik tempatan mengenai cadangan itu.

Hafiz Hamidun

“Saya tidak bersetuju kerana selama ini tiada masalah pun mengenai pembayaran dan pengurusan royalti tetapi masalah mula timbul apabila ada pihak lain yang nampak boleh mengambil kesempatan kepada hak pemuzik.

Kenapa FINAS yang menguruskan hal industri perfileman pun mahu masuk campur bab muzik? Selama ini, rata-rata syarikat rakaman bergerak sendiri dan tidak perlukan campur tangan pihak lain, jadi, kenapa perlu cadangan itu?”

Aishah (Penyanyi)

“Kalau ikutkan hati memang mahu sebuah perbadanan yang berdiri sendiri, cuma macam mana kita nak sampai ke situ?

Kalau ‘berdiri sendiri’ mengambil masa panjang, sementara itu kita kena ada ruang untuk artis dan pemuzik bergerak menyelesaikan masalah seperti royalti, kebajikan, pembangunan dan sebagainya melalui ‘platform’ sementara ini.

Tapi kita juga mesti berusaha supaya kemajuan artis dan pemuzik boleh berdiri setanding dengan perbadanan perfileman satu hari nanti.

Saya difahamkan pelan ini ambil jangka masa sangat panjang, jadi kita kena realistik dan gunakan ‘platform’ sedia ada.”

Mac Ruhayu (penyanyi)

“Cadangan bagus tapi ada baik buruknya. Adakah agihan dan perhatian saksama kepada semua jabatan di bawahnya? Adakah mereka yang pakar dan layak berada di setiap jabatan berkaitan?

Saya hanya mengenali FINAS untuk industri perfileman tapi industri muzik seperti dianaktirikan dan kurang dibantu untuk dibawa ke luar negara.

Anak muda berbakat atau mereka yang sememangnya terbabit dalam industri muzik terpaksa menggunakan inisiatif sendiri sebagai individu mengeksport bakat mereka ke luar.

Terlalu banyak sekatan! Adakah FINAS mampu membawa dan mentadbir contohnya cara Korea Selatan yang membangunkan industri muzik, drama serta perfileman mereka secara seiring?

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 5:00am
d