rap

Issey nak kahwin tahun depan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, pelawak dan penyampai radio, Issey bertekad menjadikan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sebagai tahun terakhirnya bergelar duda.

Issey, 32, atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin berkata, dia kini sedang mengenali seorang wanita yang memiliki ciri-ciri wanita idamannya.

"Kali ini saya serius nak tamatkan zaman duda saya. Sekarang pun saya sedang berkawan rapat dengan seorang wanita dan dia ada ciri-ciri wanita idaman saya," katanya.

Issey berkata, pada usia sekarang, dia perlu memotivasikan diri untuk mencari pasangan hidup.

“Apabila melihat kawan-kawan rapat seperti Ammar, Fizi Ali dan ramai lagi semuanya sudah berkeluarga dan ada anak, terasa juga.

"Jadi, ssya rasa sudah tiba masanya untuk saya lihat ke depan dan buat sesuatu untuk hidup saya," katanya.

Bagaimanapun, Issey enggan berkongsi mengenai wanita terbabit.

"Kami baru kenal dalam setahun. Siapa dia, biarlah saya rahsiakan dulu. Saya sudah letakkan sasaran untuk berkahwin tahun depan," katanya.

Issey juga inginkan sedikit waktu untuk mengelak kegagalan rumah tangganya berulang seperti sebelum ini.

"Sebelum ini, saya pernah gagal sekali. Jadi, kali ini saya nak kaji betul-betul dan betulkan mana kekurangan saya supaya perkara sama tak berulang," katanya.

Issey berkahwin dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015, tetapi bercerai pada 21 Ogos 2016.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 4:30pm
d