rap

Faziani dirindui artis

Oleh Amirul Haswendy Ashari

KEMATIAN pengasas produk kosmetik, Faziani Rohban Ahmad, 39, selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand, hari ini turut meninggalkan kesan kepada artis tempatan.

Kebanyakan artis yang mengenali arwah mengucapkan takziah selain berkongsi kenangan bersamanya di laman sosial masing-masing.

Pelakon, Fizo Omar berkata, arwah seorang usahawan produk yang baik dan berjaya tanpa menunjuk-nunjuk semata-mata untuk mempromosi produk.

"Terkejut saya dapat berita Kak Faziani sudah tiada. Saya pernah berurusan dengan arwah dan suami. Mereka sangat ringkas dan baik orangnya. Antara pemilik produk yang berjaya tapi tak pernah menunjuk dan 'over' apabila muncul di mana-mana. Saya pasti ramai mengenali jenama produk berbanding pengasasnya," katanya.

Pelakon Fasha Sandha pula berkongsi bahawa dia dan arwah ada membuat perancangan untuk berbuka puasa petang hari ini.

"Akak ada cakap dalam grup (Whatsapp) akan berjumpa untuk majlis berbuka puasa Datuk Seri Aliff Syukri malam ini kan? Tak apa, saya pergi ke KB (Kota Bharu) untuk jumpa akak buat kali terakhir.

"Tak ada lagi mesej dan balasan mesej daripada akak dalam empat kumpulan WhatsApp kita selepas ini," tulisnya.

Dalam status sama, Fasha berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Faziani ialah di majlis berinai sempena meraikan hari pernikahannya dengan Aidil Aziz, bulan lalu.

Artis lain yang turut meluahkan ucapan takziah ialah Datuk Fizz Fairuz, Datin Diana Danielle, Siti Sarah, Shuib Sepahtu, Syifa Melvin, Fauziah Ahmad Daud, Rozita Che Wan dan Sheila Rusly.

Ada juga dalam kalangan artis yang berkongsi ucapan takziah tidak mengenali arwah secara peribadi, namun terkesan dengan sikap baik arwah ketika hayat berdasarkan cerita rakan-rakan selebriti lain sebelum ini.

Dalam kejadian itu, Faziani meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah selepas tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, manakala suaminya Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, cedera.

Allahyarham yang baru saja pulang dari mengerjakan Umrah beberapa hari lalu dilaporkan dalam perjalanan ke sebuah pusat tahfiz di Pattani untuk menyampaikan sumbangan.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 5:26pm
d