rap

Memang selesa dan rapat dengan Hael

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Dayang Nurfaizah tidak kisah jika ramai peminat terus mendoakan hubungannya dengan Hael Husaini diteruskan hingga ke jenjang pelamin suatu hari nanti.

Dayang, 37, berkata, dia sudah terlalu selesa dengan rakan duetnya menerusi lagu Haram itu, namun tetap menganggap Hael sebagai antara rakan artis paling rapat dengannya.

“Saya tahu ramai peminat doakan yang baik-baik. Saya lihat ia dari sudut positif. Apapun yang dikatakan mereka adalah untuk perkara terbaik untuk saya dan Hael.

“Saya juga anggap perkara ini adalah biasa kerana kami pun memang rapat dan selesa antara satu sama lain. Disebabkan itulah peminat pun susah untuk tidak bercakap mengenai kami.

“Apa yang saya boleh katakan Hael antara rakan duet paling serasi dengan saya setakat ini. Dia tahu melakukan apa saja ‘magik’ ketika kami membuat persembahan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Lelaki Teragung ini belum ada sebarang projek baru untuk berduet dengan Hael selepas lagu Haram.

Dayang berkata, dia sebenarnya terbuka untuk berduet dengan sesiapa saja walaupun sekarang dia kelihatan lebih banyak menjayakan persembahan bersama Hael.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang jurang untuk berduet dengan mana-mana penyanyi lain. Sebenarnya saya sangat terbuka untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa saja.

“Bagaimanapun, saya akan melihat secara terperinci adakah saya layak untuk berduet dengan artis itu atau tidak? Maklumlah, bukan semua lagu sesuai dengan kebolehan kita” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 2:07pm
d