rap

Bawa peminat ke bazar Ramadan

Oleh Najiy Jefri

KESIBUKAN jadual kerja yang padat tidak menghalang penyanyi Nabila Razali meluangkan waktu berbuka puasa bersama peminat tercinta.

Seramai 50 ahli kelab Nabaela FC dibawa berbuka puasa di bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kata pelantun lagu Vroom Vroom itu, dia memilih untuk berbuka puasa secara sederhana namun lebih dekat dengan peminat.

“Alhamdulillah, walaupun Ramadan tahun ini agak sibuk, saya tetap mencari masa berbuka bersama peminat kerana aktiviti ini hanya dapat dilakukan setahun sekali sahaja.

“Kali ini kami tidak berbuka puasa di hotel atau restoran tetapi inginkan kelainan dengan membeli juadah di bazar bersama-sama.

“Dengan cara ini saya rasa lebih rapat dan menyeronokkan,” katanya.

Tambah Nabila, majlis itu juga adalah salah satu cara untuk dia menghargai peminat yang banyak membantu kelangsungan kerjayanya selama ini.

“Mereka tulang belakang saya, jadi apa salahnya jika meluangkan masa beberapa jam untuk berbuka puasa bersama.

“Saya juga tidak mahu bebankan mereka keluar duit semata-mata untuk jumpa dan berbuka bersama. Kita beli yang mana mahu sahaja dan kongsi ramai-ramai supaya tidak membazir,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan lokasi bazar di Kampung Baru, Nabila menjelaskan, dia ingin memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai cara terkini bayaran tanpa tunai yang boleh digunakan di bazar berkenaan menggunakan aplikasi Touch ‘n Go, eWallet.

“Bazar Kampung Baru adalah bazar pertama yang menggunakan urusan bayaran tanpa tunai Touch ‘n Go eWallet.

“Jadi urusan membeli lebih senang dan tidak perlu tunggu lama untuk melakukan urusan pembayaran,” katanya.

Sepanjang aktiviti bersama peminat setianya, Nabila turut menyampaikan tiga lagu secara akustik sementara menunggu waktu berbuka puasa.

“Satu pengalaman baru dan menyeronokkan. Saya rasa lebih dekat dengan peminat dan harap aktiviti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 4:30am
d