rap

PRISM minta menteri bantu selesaikan royalti RM16 juta

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGERUSI Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM), Anuar Dahlan meminta menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengotakan janji bagi membantu menyelesaikan masalah royalti ahli mereka berjumlah RM16 juta yang tertunggak sejak 2017 dan 2018.

“Kami hanya nak menteri buat keputusan mengenai perkara ini. Beliau pun sudah mempunyai laporan apa yang berlaku.

“Keputusan ini sebenarnya dah dibawa masuk ke Parlimen. Kami sudah ada dokumen dan tunjuk bahan yang diperlukan. Sepatutnya beliau sudah buat keputusan.

“Ia bukan susah sangat iaitu pembahagian daripada RM16 juta itu, berapa dia nak bagi PRISM Berhad dan berapa nak bagi pada RPM (Recording Performers Malaysia Berhad)?,” katanya kepada Harian Metro.

Kemelut berkenaan isu royalti itu mula tercetus apabila Music Rights Malaysia Berhad (MRM) yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 2016, hanya membuat bayaran pengagihan kepada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) dan Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM).

Ia menimbulkan bantahan PRISM Berhad terhadap MRM atas kegagalan mereka membuat bayaran kategori Pelaku.

Anuar berkata, alasan yang diguna pakai adalah berasaskan kepada Artikel 99, Perlembagaan MRM yang menyatakan MRM akan membuat pengagihan terus kepada ahli PRISM Berhad dan RPM.

“PRISM Berhad menyuarakan bahawa Artikel 99 adalah ‘ultra vires’ kepada semangat dan asas penubuhan MRM.

“Manakala, RPM hanya berdiam diri. Kami sedia berunding berkaitan kadar agihan antara PRISM Berhad dan RPM dengan syarat tiada pengagihan terus dibuat kepada ahli,” katanya.

Menurutnya, mereka kemudiannya mengemukakan surat kepada Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) untuk campur tangan dalam perkara itu.

“MRM akhirnya menyerahkan isu berbangkit ini kepada MyIPO dan Menteri KPDNHEP untuk buat keputusan.

“Pada 18 Februari tahun lalu, beliau berjanji kepada Pasukan Petugas Khas PRISM Berhad untuk menyelesaikan isu ini dan memberi harapan bahawa semua Pelaku (penyanyi dan pemuzik) PRISM Berhad dan RPM akan dapat agihan sebelum Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Terdahulu, MyIPO pada 14 Mei lalu mengeluarkan kenyataan membatalkan lesen PRISM sebagai badan pelesenan berkuat kuasa pada 3 April lalu dan ia amat mengejutkan PRISM.

“Kami kecewa dengan tindakan MyIPO dan menganggap kenyataan berhubung notis pembatalan ini adalah terburu-buru serta mempunyai satu konspirasi sulit antara pegawai kanan MyIPO dan pengurusan MRM yang didalangi oleh sekumpulan kecil pemain industri untuk menjaga kepentingan individu terbabit.

“Tujuan mereka ialah memastikan PRISM yang mewakili kira-kira 1,600 ahli tidak boleh menjalankan fungsi badan pelesenan dalam urusan pelesenan kutipan dan pengagihan bayaran royalti.

“Sebaliknya, MyIPO meletakkan beban dan tanggungjawab kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) bagi menjawab semua isu berbangkit,” katanya.

Anuar turut kesal kerana pengeluaran notis pembatalan dibuat secara rapi termasuk menyembunyikan fakta sebenar dan meletakkan elemen persepsi bagi mempercayai bahawa PRISM Berhad tidak boleh menjalankan fungsi sebagai sebuah badan pelesenan.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 6:49pm
d