rap

Tawar terapi muzik kanak-kanak Autisme

Oleh BERNAMA

BERHADAPAN dengan kanak-kanak autisme bukanlah sesuatu yang mudah seperti dengan kanak-kanak biasa, dan sering kali akan kedengaran keluhan daripada ibu-bapa dan guru-guru dalam menguruskan mereka.

Namun pelbagai cara, teknik dan terapi sering digunakan ketika bersama kanak-kanak istimewa ini, terutamanya pada sesi pembelajaran mereka, termasuklah menggunakan terapi muzik.

Terpanggil dengan kelebihan terapi muzik yang dapat membantu mengembangkan potensi kanak-kanak autisme, Awi Rafael merasakan dengan kemampuan, bakat dan kebolehan yang dimiliki, beliau mampu melakukan sesuatu untuk membantu.

Sebab itulah artis berusia 32 tahun yang popular menerusi lagu ‘Bila Aku Jatuh Cinta’ itu, menawarkan khidmat terapi muzik buat kanak-kanak autisme.

“Melalui bacaan dan penyelidikan yang saya lakukan, terapi muzik didapati mampu mengembangkan potensi kanak-kanak autisme, terutama ketika berinteraksi dengan masyarakat. Ia adalah alternatif bagi rawatan moden, malah keberkesanan kaedah ini sudah pun terbukti. Saya percaya dan yakin muzik dapat membantu penghidap autisme,” katanya kepada BERNAMA, baru-baru ini.

Awi berkata, dengan bantuan Persatuan Terapi Muzik Malaysia, beliau akan memanfaatkan muzik, sebagai satu alat komunikasi untuk menarik perhatian mereka.

“Buat masa ini, saya mempunyai enam kanak-kanak autisme yang sedang mengikut terapi muzik ini. Saya bertuah kerana dibantu guru-guru terlatih daripada persatuan ini, untuk melakukan terapi muzik kepada anak-anak istimewa ini,” katanya.

Jelas Awi, terapi muzik buat kanak-kanak autisme ini juga projek istimewa di bawah akademi muziknya, yang bakal dilancarkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Katanya, akademi muzik yang diusahakan bersama pelakon popular, Aiman Hakim Redza itu mensasarkan peminat muzik daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk belajar muzik, selain mengadakan program terapi muzik bagi kanak-kanak istimewa itu.

Bagi yang berminat, mereka boleh melayari Instagram Awi Rafael @awirafael atau @newsantara.my untuk keterangan lanjut mengenai program ini.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 11:28am
d