rap

Farid Kamil reda dan lebih tenang

Oleh Syanty Octavia Amry

KELUARGA pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan pada 15 Mei lalu tidak akan berputus asa dan terus berharap hukuman itu dapat ditangguhkan supaya Farid dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tahun ini.

Adiknya yang juga pelakon, Fadzil Zahari, 36, berkata, keluarganya masih dalam terkejut dengan keputusan itu.

Fadzil berkata, peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom sedang melakukan yang terbaik memohon hukuman itu ditangguhkan.

“Ibu dan bapa amat bersedih dengan berita ini, tetapi mereka sentiasa berdoa supaya ada keajaiban berlaku dalam tempoh kurang dua minggu sebelum Aidilfitri.

“Ada juga dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan rapat turut mengadakan solat hajat untuk Farid” katanya. Mengulas mengenai keadaan Farid, Fadzil berkata, abangnya kini kelihatan lebih tenang dan reda.

“Saya ada menemani kakak ipar, Datin Diana Danielle melawatnya di penjara Kajang. Alhamdulillah dia lebih tenang dan kuat berdepan dengan dugaan ini. Ia berbeza ketika kali pertama dimasukkan ke lokap dulu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan dan berada bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun atas kesalahan dadah.

Majistret Nor Arriffin Hisham turut memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara serta-merta pada 15 Mei lalu.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 2:01pm
d