rap

Amelina kembali berbaik dengan Razman Razmi

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SEMPENA keberkatan Ramadan, penyanyi yang turut digelar Ratu Dangdut oleh peminat, Amelina dan pereka fesyen, Razman Razmi kembali berbaik, selepas hampir lapan bulan berselisih faham.

Seperti yang diketahui umum, Amelina dan Razman Razmi sebelum ini berselisih faham selepas berlaku insiden pergaduhan dengan berbalas kenyataan di media sosial membabitkan pakaian ditaja sewaktu penyanyi yang sedang popular dengan lagu Janda Anak Enam itu menyertai program realiti, Gegar Vaganza.

Berita gembira mengenai perkara itu turut dikongsi Razman Razmi di Instagramnya, dengan berkata keberkatan Ramadan membuka peluang untuk mereka kembali bertemu dan bermaaf-maafan.

Sewaktu dihubungi hari ini, pereka fesyen di bawah label, Razman Ramzi, Razman Din menjelaskan, selepas beberapa minggu insiden pergaduhan dan perang di laman sosial bersama Amelina berlaku, pihaknya memang bercadang mahu berbaik kembali. Lebih-lebih lagi selepas dinasihati oleh beberapa pihak.

“Pihak Razman Razmi memang tidak mahu memanjangkan perselisihan yang berlaku dan masing-masing juga mengakui kesilapan yang berlaku.

“Kami sendiri memang punya niat bertemu Amelina untuk bermaafan tetapi kesempatan itu tidak ada sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun atas niat baik kehadiran Ramadan memberikan kesempatan untuk mereka bertemu, apabila kedua-dua belah pihak turut terbabit dalam program yang dianjurkan oleh Star Vendors berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, minggu lalu.

“Waktu itu Amelina sedang menyanyi, kebetulan bazar kami berhampiran dengan pentas dia menyanyi. Kami mengharapkan Amelina akan lalu di hadapan bazar kami dan doa dimakbulkan.

“Kami bertemu dan kesempatan itu digunakan untuk bermaaf-maafan serta melupakan apa yang telah berlaku antara kami sebelum ini,” katanya.

Razman juga menegaskan mereka pernah berbaik dan atas alasan itu juga mereka yakin persengketaan berlaku tidak akan berpanjangan.

“Cuma doa dan harapan kami, orang sekeliling tidak menjadikan perkara baik ini sebagai isu atau mengapi-apikan kami. Doakanlah supaya perkara baik buat kami mahupun Amelina,” katanya.

Amelina pula sewaktu dihubungi tidak dapat memberikan komen kerana situasi kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 6:04pm
d