rap

PU Abu cadang ziarah 'mangsa buli'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENDAKWAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan Muhammad Mokhtar Rozaidi bercadang menziarahi keluarga bekas anak muridnya, yang mendakwa pernah dibuli olehnya menjelang Aidilfitri ini.

Menurutnya, dia ingin menggunakan masa ketika Aidilfitri untuk bertemu dan bermaaf-maafan dengan kanak-kanak yang dikenali sebagai Akmal Hareez Kamal Affendi itu serta keluarganya.

"Insya-Allah, sekiranya ada kesempatan, saya akan menziarahi keluarga bekas anak murid ini," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun katanya, dia terkilan kerana kisah tiga tahun lalu itu dibangkitkan semula.

"Perkara itu berlaku tiga tahun lalu. Saya bukan nak berlagak sebagai mangsa, tetapi cuma nak kongsi cerita penuh supaya tidak berat sebelah.

"Lagi pula, ketika kejadian yang dikatakan saya membuli kanak-kanak itu berlaku, ibunya tidak berada di sekolah," katanya.

Abu berkata, apa yang berlaku hanyalah gurauan antara seorang guru dengan anak muridnya.

"Saya bergurau dengan anak murid dan peluk dia. Kemudian, saya berikan wang kepadanya kerana selepas itu adalah waktu rehat.

"Akmal pun ketika itu bergelak ketawa dengan saya dan nampak gembira seperti biasa. Saya tak nampak pula dia menangis atau apa," katanya.

Keesokan harinya, keluarga kanak-kanak itu hadir ke sekolah dan bertemu dengan pihak pengurusan.

"Keesokan harinya, keluarganya datang ke sekolah. Di dalam bilik guru, mereka marah dan malu dengan tindakan saya. Saya jelaskan kepada mereka dan memohon maaf.

"Selepas itu, saya anggap isu itu dah selesai. Saya pun tidak lagi bergurau dengan Akmal selepas itu sementara murid lain boleh menerima gurauan saya," katanya.

Katanya, dia juga terkilan dengan tindakan ibu kanak-kanak itu dikenali sebagai Zahara Mohd Yusof yang berkongsi mengenai kisah lama itu di media sosial.

"Ketika nama saya tular kerana isu rumah tangga, isu lama itu dibangkitkan semula oleh ibu kanak-kanak itu dan saya anggap ada udang di sebalik batu," katanya.

April lalu, nama Abu dikaitkan dengan kisah buli oleh seorang ibu di Facebook dan berkongsi mengenai pengalaman anaknya yang diaibkan di dalam kelas kerana berbadan gemuk.

Isu buli itu dibangkitkan selepas nama Abu tular kerana kisah rumah tangga dan perkahwinannya mendapat perhatian media serta warganet.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 4:12pm
d