rap

Brian McFadden artis jemputan Konsert Boyzone

Oleh Amirul Haswendy Ashari

BEKAS anggota kumpulan Westlife, Brian McFadden diumumkan sebagai artis jemputan istimewa pada Konsert Boyzone 'Thank You and Good Night Farewell Tour’ di Stadium Malawati, Shah Alam pada 14 Jun depan.

McFadden memulakan kerjaya nyanyiannya bersama Westlife pada 1998 melalui album studio sulung kumpulan itu pada 1999.

Pada 2004, dia meninggalkan kumpulan Westlife untuk kerjaya solonya dan mengeluarkan single Real to Me, yang turut dimuatkan dalam album solo debutnya Irish Son.

Pada 2016, McFadden dan Keith Duffy, ahli Boyzone membentuk kumpulan ‘Boyzlife’ serta menjelajah seluruh dunia, mempersembahkan lagu hits band mereka.

Ahli kumpulan Boyzone termasuk Duffy, Michael Graham, Ronan Keating dan Shane Lynch akan mempersembahkan beberapa lagu hits mereka termasuk When You Say Nothing At All, No Matter What dan Love Me For A Reason pada malam itu.

"Apabila kami bermula sebagai lima pemuda dari utara Dublin yang tak sabar untuk menghadapi dunia, kami tidak pernah terbayang yang masih mempunyai peminat sama 25 tahan kemudian.

"Jika anda pernah melihat penampilan di televisyen pertama kami di The Late Late Show, anda mungkin akan memeranjatkan juga," katanya kumpulan itu menikmati kejayaan melalui kerjaya mereka.

Mereka juga sudah membuat persembahan di stadium dan arena di seluruh dunia, mengeluarkan enam album serta mempunyai hampir dua dozen hits.

"Kami benar-benar tidak dapat menyatakan berapa banyak sokongan daripada anda, peminat kami di sepanjang perjalanan ini.

"Tanpa sokongan anda, kami tidak akan mencapai apa yang ada dan untuk itu kami sentiasa bersyukur," luah mereka lagi.

Konsert itu dibawakan oleh Wowstar Creative Entertainment.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 6:30pm
d