rap

Tolak tawaran sebab tak nak 'miming' - Zara Zya

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Zara Zya sanggup menolak tawaran menyanyi kerana tidak mahu 'miming' dan memalukan diri sendiri.

Zara, 34, atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin mengakui dia juga memiliki masalah mengingat lirik hingga memaksa dirinya hilang keyakinan untuk membuat persembahan di hadapan orang ramai.

"Ada banyak tawaran menyanyi, tapi saya tolak sebab memang tak boleh nak buat. Saya bukan penghibur yang boleh ajak orang nyanyi bersama. Berbeza kalau berlakon teater, kita tak tengok orang.

"Lagi satu, saya ada masalah untuk ingat lirik. Bayangkan kalau ada dua tiga lagu yang perlu dinyanyikan, apa akan terjadi? Daripada saya malukan diri, baik tak payah buat. Saya juga rela tolak daripada nak kena 'miming' dan memalukan diri.

"Saya pernah sekali menyanyi di sebuah acara di Singapura, ketika itu 'miming'. Akhirnya ‘kantoi’ sebab muzik dan pergerakan bibir tak sama. Walaupun penonton tak fikir apa-apa, tapi boleh nampak reaksi wajah mereka yang saya 'miming'. Saya yang jadi janggal," katanya kepada Harian Metro.

Zara yang sebelum ini muncul menerusi single Tiada Dendam berkata, dia juga menolak tawaran daripada pihak Muzik Muzik bagi mencalonkan lagu itu.

"Saya pernah menjadi tetamu jemputan program itu. Apabila mereka minta saya calonkan lagu, saya tak nak. Malah, komposer dan penulis lirik pun nak saya masuk.

"Diakui, saya menyanyi sekadar suka-suka dan bukan nak menjadi penyanyi profesional. Suara saya asas saja dan tidaklah sedap mana pun.

"Cuma, sekurang-kurangnya saya ada lagu dan boleh diceritakan pada anak cucu nanti. Saya tak nak berhenti setakat ini saja. Saya memang suka menyanyi," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 3:35pm
d