rap

Comel sangat tarian zapin tu!

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI terkenal, Hael Husaini terharu dengan inisiatif kumpulan Gemalai Tari Majidi yang turut melakukan cabaran tarian zapin lagu raya nyanyiannya, Bersyukur Seadanya.

Hael ketika dihubungi berkata, gerak tarian zapin kanak-kanak itu cukup mencuit hati hingga membuatkan dia terpanggil untuk berkongsi semula video berdurasi 48 saat itu di Instagram.

“Saya tersentuh melihat kesungguhan mereka melakukan cabaran tarian itu. Mereka sangat comel, malah gerak tari mereka juga sangat kemas.

“Saya sendiri pun tidak boleh menari dengan baik seperti mereka. Saya bersyukur kerana mereka menjadikan cabaran dan lagu itu sebahagian daripada hari raya mereka,” katanya.

Sementara itu, pengurus kumpulan tarian Gemalai Tari Majidi, Hafiq Syazwan, 25, ketika dihubungi berkata, mereka sama sekali tidak menyangka video itu mendapat perhatian Hael.

“Sebenarnya setiap tahun kami akan merakam video khas untuk Aidilfitri. Cadangan asal untuk tahun ini adalah untuk buat lakonan tetapi oleh kerana ada anggota kumpulan yang sudah pulang ke kampung, maka kami terpaksa tukar.

“Ada seorang kanak-kanak berbadan besar dalam kumpulan itu ialah adik saya iaitu Hariz Syahmi. Dialah yang mencadangkan kami lakukan cabaran itu kerana dia sangat meminati Hael,” katanya.

Sesi latihan mereka hanya memakan masa sehari sebelum merakamkan cabaran itu dua hari lalu. Ada juga sedikit bunga tarian yang diubah bagi memudahkan ahli baru.

Hafiq berkata, adiknya sangat gembira apabila video tarian mereka bukan hanya dikongsi Hael, tetapi juga stesen radio HotFm.

Dalam pada itu, Hariz, 10, berkata, dia seronok selepas dimaklumkan tarian mereka mendapat perhatian bukan daripada Hael saja, tetapi juga selebriti lain.

“Saya seronok sebab Hael kongsikan video kami menari. Ibu juga puji kerana kami sudah lakukan yang terbaik,” katanya.

Kumpulan Gemalai Tari Majidi ditubuhkan pada 2016 di Sekolah Kebangsaan Majidi Baru, Johor Bahru dan kini mempunyai 17 ahli.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 5:17pm
d