rap

Nassier lawan gastrik

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

FIZIKAL penyanyi Datuk Nassier Wahab sentiasa kelihatan sihat dan awet muda. Malah, ramai yang cemburu melihat penampilannya yang tidak dimamah usia.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 57 tahun itu berkata, dia menghidap gastrik yang serius dan amat berhati-hati dalam pengambilan makanan.

“Saya selalunya melewatkan makan sahur dan banyakkan minum air serta ambil makanan tambahan untuk jaga kesihatan.

“Saya akan pastikan makan nasi ketika bersahur dan berbuka. Walaupun kuantitinya tak banyak, saya perlu ambil nasi kerana bimbang akan kena gastrik.

“Saya tetap lawan penyakit ini dan tak menjadikannya alasan untuk tinggalkan puasa. Penyakit ini kuat menyerang saya ketika zaman sekolah sehingga cikgu terpaksa hantar balik rumah,” katanya.

Beralih soal sambutan Aidilfitri, Nassier berkata, meskipun memiliki kediaman besar di ibu kota, dia sukar melupakan keriangan meraikan Aidilfitri di kampung halamannya di Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.

“Insya-Allah saya akan balik kampung tiga hari sebelum Aidilfitri. Lagipun, saya pemegang amanah bagi menjaga rumah pusaka orang tua.

“Saya buat persiapan untuk rumah itu termasuk menukar langsir baharu dan sebagainya untuk nampak meriah.

“Namun, mungkin raya pertama nanti saya kena balik ke Kuala Lumpur kerana ada undangan persembahan. Saya akan ambil penerbangan jam 6 pagi dan selepas persembahan akan pulang semula ke Pulau Pinang,” katanya.

Sambung Nassier, dia akan mengadakan persembahan di kediaman rasmi Perdana Menteri serta Istana Negara dan ia sudah jadi rutin sejak 10 tahun lalu.

“Saya seronok beraya di kampung dan paling dirasai kerinduan terhadap arwah ayah dan ibu serta anggota keluarga yang sudah tiada.

“Lain suasana tanpa mereka. Rumah pusaka juga kurang meriah kerana adik-beradik sudah jarang berkumpul. Maklumlah masing-masing sudah ada keluarga.

“Ada yang sudah ada menantu dan bercucu serta suka beraya dengan keluarga sendiri. Hanya saya dan isteri yang balik kampung. Rumah keluarga isteri pula sebelah saja dengan rumah kami,” katanya.

Perkembangan lain, Nassier baru sahaja menghasilkan album mini berjudul Dunia Cinta yang mengandungi lima lagu terbitan Insitech Musicland Sdn Bhd.

“Album ini dirakam di Bandung, Indonesia bawah kendalian kom­poser Syahrul Elmoka pada Disember tahun lalu.

“Saya menyanyikan empat lagu ciptaan Syahrul berjudul Sajak Cinta, Cemburu, Dunia Cinta dan Tentang Cinta. Selain itu saya juga merakamkan semula lagu Sudah Ku Tahu nyanyian asal kumpulan Projektor Band dalam bentuk pop,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 5:00am
d