rap

Lakonan, peragaan 'cinta' Hanee

Oleh Ardini Sophia Sina

KEHADIRANNYA dalam industri seni lakon mula disedari apabila Haneesya Hanee memegang watak antagonis menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek pada tahun lalu.

Walaupun tidak terbabit dengan banyak projek seni, wanita berkulit hitam manis itu mampu mempamerkan corak lakonan yang meyakinkan.

Terbaharu, Hanee terbabit dengan siri Curi Curi Cinta memegang watak sebagai Tina, wanita yang bertanggungjawab memecahbelahkan keluarga Dani.

“Setakat ini, Curi Curi Cinta adalah projek baharu. Ada juga terima beberapa tawaran lakonan namun masih pada peringkat perbincangan. Sementara menunggu projek lakonan, saya banyak terbabit dengan peragaan.

“Saya pun masih baharu dalam industri. Saya perlahan-lahan kembangkan kerjaya lakonan dan pada masa sama fokus dengan peragaan. Sekarang saya buat apa saja kerja yang ada depan mata,” katanya.

Sama seperti pelakon yang baharu yang sedang belajar untuk bertatih, begitu jugalah perjalanan seni Hanee. Gadis berusia 19 tahun itu meminati kedua-dua dunia peragaan dan lakonan.

Oleh itu, dia nekad, andai suatu hari nanti kerjaya lakonan semakin bersinar, pemilik nama sebenar Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan akan cuba sedaya-upaya untuk menyeimbangkan cabang seni berkenaan.

“Saya mencintai lakonan dan peragaan. Ia adalah dua bidang yang saya minati dan tidak akan lepaskan salah satu. Mungkin, hari ini saya banyak buat peragaan namun kalau diberikan rezeki untuk berkembang dalam dunia lakonan, akan cuba seimbangkan.

“Walaupun setakat ini lebih banyak ditawarkan untuk membawakan watak antagonis, tetapi saya tidak kisah. Mungkin ‘jodoh’ saya dengan karakter seperti itu. Tidak kisah pun kalau orang kenali saya sebagai pelakon dengan watak sebegitu,” katanya.

Bagaimanapun, Hanee mengakui membawakan watak hitam dalam sesebuah karya itu bukanlah satu perkara yang menyeronokkan apatah lagi apabila penonton mulai membenci karakter yang dilakonkannya.

Melihat dari sudut positif, kata Hanee, ada kelegaan kerana itu adalah penanda aras bahawa dia membawakan karakter itu dengan baik. Dia perlahan-lahan belajar untuk memahami dunia seni dengan lebih dalam.

Mempunyai kelompok peminat tersendiri, kata Hanee, ada antara mereka yang ingin melihat dia memegang watak baik sekali gus menjadi tunjang utama sesebuah karya.

Menyedari dirinya masih baru, dia memberikan masa buat diri sendiri untuk mengasah bakat dan meningkatkan lagi teknik lakonan supaya mampu membawakan apa saja watak diberikan.

“Di media sosial ada yang bertanya, bila saya akan bawa watak baik dan pegang watak utama. Mereka katakan bahawa saya sudah layak untuk jadi tunjang sesebuah karya.

“Namun saya sendiri sedar, masih baharu. Banyak lagi yang perlu saya belajar. Teknik lakonan pun saya kena asah lagi. Andai ada rezeki, suatu hari nanti mungkin akan tiba masa untuk menjadi penggerak utama cerita,” katanya.

Hanee sebenarnya terbabit dengan dunia lakonan sejak berusia sembilan tahun lagi. Dia meraih peluang berlakon teater berjudul Siti Di Alam Fantasi dan Lat Kampung Boy di Istana Budaya.

Bercakap mengenai persiapan raya, mungkin akan ada salah sangka seorang peragawati yang sentiasa menggayakan pakaian mahal dan cantik akan bergaya sebegitu di pagi raya.

Realitinya, Hanee adalah seorang individu yang sangat bersederhana. Dia memilih untuk tampil ringkas kerana apa yang penting adalah masa diluangkan bersama keluarga.

“Mungkin ada yang anggap seorang peragawati ini akan memakai pakaian cantik sama seperti apa yang diperaga. Tetapi, itu hanyalah di pentas. Saya seorang yang sangat ringkas. Semuanya serba sederhana.

“Adakalanya, bersolek pun saya malas kerana apa yang paling penting adalah momen bersama keluarga. Asalkan ada baju baru dan dapat sambut dengan keluarga, itu sudah cukup,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 4:30am
d