rap

Lega ada yang bantu

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Reza Hasbi bersyukur apabila ramai tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya selepas luahannya mengenai kesusahan hidup, baru-baru ini.

Reza, 30, berkata, dia mendapat mesej daripada ramai individu yang ingin memberikan hadiah duit raya buat anak-anaknya dan berasa sangat berterima kasih.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih memberi kami ruang untuk menikmati nikmat di dunia ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada hamba-hamba Allah di luar sana yang berhati mulia,” katanya.

Menurut Reza, ada yang menghantar direct message (DM) di Instagram dan menghantar teks menerusi WhatsApp meminta nombor akaun bank untuk memberi duit raya kepada anak-anaknya serta meringankan bebannya untuk menyambut Aidilfitri.

Pelakon drama Dia Menantu Rahsia itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan hidupnya termasuklah rakan-rakan dalam bidang lakonan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai kesusahan Reza yang hampir mahu meminta bantuan di pejabat zakat kerana sudah lebih dua bulan tidak mempunyai pendapatan dan tawaran berlakon.

Dia juga tidak memperoleh bayaran sebanyak RM5,000 yang sepatutnya dibayar sebuah syarikat produksi sejak lima bulan lalu.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 12:45pm
d