rap

Belum rezeki...

Oleh Najiy Jefri

SETIAP pasangan berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina.

Kehadiran zuriat tentu akan menambah bibit bahagia buat pasangan suami isteri dalam melayan telatah dan ragam mereka.

Namun, tidak semua pasangan bernasib baik dalam melayari bahtera rumah tangga untuk memiliki zuriat sendiri.

Penyanyi Indah Ruhaila yang mendirikan rumah tangga pada Disember 2017 dengan Ahmad Shariff reda apabila belum dikurniakan zuriat.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, kami bukan saja ingin beraya bertiga, tetapi berempat. Terus dapat kembar! Doakanlah kami supaya tahun depan dapat beraya dengan cahaya mata. Kalau terbabas (dapat anak) dalam masa terdekat, saya okey saja, tapi buat masa sekarang, saya ingin fokus kepada kerjaya nyanyian,” katanya.

Bersedia dengan segala pertanyaan yang bakal diajukan saudara-mara serta tetamu yang bakal hadir ke rumah sempena Aidilfitri tahun ini, Indah tidak tertekan atau rimas dengan soalan terbabit.

“Tak payah tunggu raya pun ramai yang dah bertanya. Mungkin raya tahun ini lebih ramai yang akan bertanya bila kami nak timang zuriat.

“Saya sudah bersedia dan tak rasa tertekan atau rimas. Lagipun saya bukannya sudah lama berkahwin, masih baru. Bagi saya, kalau Tuhan kata dah sampai rezeki, adalah. Saya dan suami memang tak sabar pun nak timang zuriat,” katanya.

Bercerita mengenai rutin di Aidilfitri, kali ini Indah bersama suami akan menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Masai, Johor.

Katanya, setiap kali beraya di Johor, dia sekeluarga akan berjalan-jalan di Plaza Angsana Johor Bahru beberapa hari sebelum Aidilfitri.

“Kebiasaannya, dua hari sebelum raya sudah berada di kampung. Tolong mak kemas rumah dan menyediakan juadah yang patut. Wajib buat kami adik-beradik pergi Plaza Angsana untuk mencari ‘mood’ raya,” katanya.

Menurut Indah, dia juga ingin mengambil masa untuk berehat Aidilfitri ini kerana sepanjang Ramadan dia terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Puasa tahun ini sangat penat. Saya kurang rehat kerana terikat dengan aktiviti promosi. Semangat Aidilfitri memang ada, tapi fokus sekarang memang untuk kerja dan nak pastikan momentum dalam industri seni sentiasa konsisten,” katanya.

Sementara itu, Indah bersyukur apabila single terbaru berjudul Pudar memberi impak yang baik.

“Semua orang masih ingat saya menerusi lagu Percayalah dan saya juga akui percubaan selepas itu kurang mendapat perhatian. Walaupun ada single yang keluar selepas itu, tapi impaknya tidak sama seperti lagu Percayalah,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2019 @ 5:00am
d