rap

Azharina cari pekerja untuk buka semula gerai

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Azharina Azhar, 34, masih mencari pekerja untuk membuka semula gerai menjual kepak ayam madu yang ditutup sejak April lalu.

Penyanyi lagu Elegi Sepi itu sebelum ini ada menemuduga tiga pekerja Indonesia, namun, sehari kemudian, mereka bertiga ditahan pihak berkuasa kerana tiada permit kerja.

"Sebelum ini, yang menguruskan gerai ini adalah keluarga kepada pembantu peribadi saya. Namun, dia pulang ke Sabah kerana anaknya baru bersalin dan kerana itu saya tiada pekerja untuk menggantikannya.

"Jadi, saya mencari pekerja baru dan menemuduga mereka. Pada minggu lalu, saya cuba menghubungi seorang daripada mereka, namun gagal dan sehari kemudian diberitahu, ketiga-tiga mereka ditahan kerana tiada permit kerja," katanya kepada Harian Metro.

Azharina berkata, dia memang merancang untuk mengambil ketiga-tiganya bekerja dan menguruskan permit serta visa mereka.

"Saya menghubungi mereka untuk maklumkan mahu ambil mereka bekerja dan uruskan permit kerja. Namun, belum sempat apa-apa, mereka dah kena tahan," katanya.

Azharina berkata, sekiranya ada pihak yang mencari kerja sambilan supaya menghubunginya dan bekerja sebagai tukang bakar kepak ayam madu di gerai yang terletak di Puchong.

Sementara itu, Azharina juga meluahkan rasa syukur kerana tiket konsertnya, Azharina Queen of Soul yang bakal berlangsung pada 29 Jun ini di Teater Shah Alam sudah 70 peratus terjual.

"Saya bersyukur sangat kerana sehingga kini, sudah 70 peratus tiket dijual untuk konsert ini. Perasaan saya bercampur baur, ada rasa teruja dan takut.

"Saya kini bercuti raya selama seminggu dan kemudian kembali menjalani latihan serta promosi untuk konsert Azharina Queen of Soul," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 5:21pm
d