rap

Zainol sedih tak dapat hadir pertunangan Zahirah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"ZAHIRAH sudah maklumkan kepada saya mengenai perkara ini yang mana Aiman dan keluarganya mahu datang ke Perth, Australia pada raya ini," kata bapa Zahirah yang juga pelakon, Zainol Macwilson mengenai pertunangan anaknya dengan Aiman Hakim Ridza yang berlangsung di Perth, Australia, pagi hari ini.

Zainol, 61, atau nama sebenarnya Zainol Johari Macwilson ketika dihubungi melahirkan rasa sebak disebabkan tidak dapat bersama anaknya kerana masih berada di Perlis.

Bagaimanapun, Zainol tetap gembira dengan pilihan anaknya itu dan mendoakan segala yang dirancang berjalan lancar.

"Sejujurnya, perasaan saya bercampur baur. Sedih, gembira semua ada. Itu pilihan dia, jadi saya tak boleh larang.

"Kakak (Zahirah) memang sudah minta izin. Cuma, dia tak bagi cakap dulu. Saya sedih sebab tidak dapat bersama mereka.

"Pagi tadi hantar ucapan tahniah pun, saya hiba dan sedih. Siapa tak sayangkan anak. Saya memang sayangkan anak dan tak pernah abaikan mereka," katanya.

Ditanya mengenai majlis pernikahan, Zainol berkata, dia belum dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Fasa nikah tak tahu lagi bila. Saya belum dikemaskini. Cuma, apa saya ingin pesan adalah ikatan pertunangan ini bukan 'tiket' untuk bebas keluar ke hulu hilir. Tak manis dipandang orang.

"Macam sebelum ini pun, saya tengok di Instagram kakak, ramai yang memberikan maklum balas. Ada positif dan negatif," katanya.

Sementara itu, ibu Zahirah, Maslinda Yusoff menerusi hantaran di Instagram mendoakan semoga ikatan pertunangan itu kekal hingga diijab kabulkan nanti.

"Alhamdulillah, selesai majlis pertunangan anak perempuan kami. Mama dan ayah mendoakan semoga kekal hingga diijab kabulkan.

"Semoga Allah permudahkan segala urusan dan memperkenankan niat yang mulia bersama. Amin," katanya.

Terdahulu, berita pertunangan pasangan pelakon Curi-Curi Cinta itu dikongsikan di Instagram masing-masing.

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 2:39pm
d