rap

Tambah ilmu lakonan

Oleh Amirul Haswendy Ashari

TUAH ayam nampak di kaki, tuah pelakon remaja, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 19, atau lebih dikenali sebagai Atiq Azman terletak pada kesungguhan dan bakatnya.

Apatah lagi watak sebagai Amirul dalam drama bersiri popular Nur dan Nur 2 berjaya membuka mata banyak pihak.

“Ikutkan dari sekolah rendah lagi teringin nak jadi juruterbang. Tak tahu pula macam mana boleh masuk bidang ini (lakonan).

“Mungkin saya tak berapa pandai sangat dalam akademik di sekolah menengah,” kata Atiq memulakan bicara.

Demi mencari rezeki, dia sanggup buat apa sahaja kerja yang halal termasuklah bergelar buruh binaan sekali pun.

Dua tahun lalu, dia tebalkan muka mencari peluang tampil sebagai pelakon tambahan dan hidupnya mula berubah.

Seperti bakat baru lain, Atiq pernah membayangkan suasana tatkala bergelar ‘artis’.

“Saya pernah terbayang kalau masuk bidang ini mesti banyak tawaran berlakon, hidup glamor dan macam-macam lagi.

“Ketika itu saya teringin melalui pengalaman seperti itu dan apabila dapat masuk bidang ini saya rasa sangat bersyukur.

“Dulu hanya minat pelakon sekarang dah jadi pelakon. Saya anggap ini impian yang sangat besar buat saya,” katanya.

Atif yang baru sahaja muncul dengan telefilem Restu Ayah berkata, bermula dengan watak tanpa dialog dia kemudian diberi peluang menjiwai watak yang berdialog dan kini mula merasa watak besar.

“Ketika ditawarkan membintangi Restu Ayah, saya takut sebab ia agak berat.

“Namun, saya pujuk hati untuk kuatkan diri dan pasak dalam minda ini satu amanah yang saya kena buat.

“Sebenarnya saya memang suka watak yang banyak bermain dengan emosi. Pernah juga dapat tawaran karakter orang kurang upaya tahun lalu tetapi selepas berbincang dengan produksi saya tolak sebab belum yakin,” katanya.

Namun dia berharap dapat peluang seperti itu lagi pada masa depan.

Kini, tahap keyakinan dirinya bertambah kerana sudah menghadiri kursus dan sijil lakonan teater di Akademi Seni, Warisan dan Budaya Kebangsaan (Aswara).

Menurut Atiq, dia mengikuti kursus tahap 1 di pusat pengajian itu pada Januari lalu.

“Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan menyertai kursus tahap 2 pula. Apabila masuk kelas, saya jadi lebih yakin untuk bawa apa sahaja watak.

“Bagi saya ilmu itu penting dan perlu digali. Tidak kiralah muda atau tua, saya percaya kita kena sentiasa tambah ilmu,” kataya.

Keluarga marah pegang bukan muhrim

Tanpa berselindung, Atiq mengakui pernah tersalah cakap apabila ditanya mengenai isu berlakon dengan pelakon bukan muhrim sebelum ini.

Menurut Atiq, keluarga menyokong pembabitannya dalam bidang lakonan tetapi apabila ada artikel mengenai adegan bersentuhan dengan pelakon bukan muhrim, mereka kurang senang.

“Ketika itu saya tersalah cakap dan apabila difikirkan semula memang saya tak mahu buat babak seperti itu.

“Saya nak ada keberkatan dalam kerja dan tidak mahu keluarga risau. Teguran keluarga ada benarnya dan saya kena akur dengan larangan.

“Dalam hidup ini kita ada pilihan. Saya akan terima apa sahaja tawaran asalkan tidak membabitkan babak bersentuhan,” katanya.

Sambung Atiq, biarpun keputusan itu akan membataskan tawaran tetapi sebagai remaja yang mempunyai didikan agama dan lulusan tahfiz, dia perlu ada pendirian yang teguh.

Beralih perihal lebaran, Atiq berkata dia pulang ke kampung halaman bapanya di Taiping dan Kuala Kangsar, Perak.

Kali ini dia memperuntukkan masa dua minggu untuk memenuhi jemputan ke rumah terbuka anjuran saudara mara.

“Selepas itu saya kena fokus dengan kerja semula. Jika tiada aral saya akan membintangi filem sulung dan berasa sangat teruja,” katanya yang baru sahaja selesai penggambaran drama 13 episod, Cinta Itu Fairytale arahan Tham Suhaimi.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 7:00am
d