rap

Rezeki terindah

Oleh Rudy Imran Shamsudin

AIDILFITRI kali ini cukup bermakna buat pasangan popular Nur Fasha Sandha Hassan dan Aidil Aziz apabila menerima berita gembira seminggu sebelum ketibaan Syawal.

Ketika menjayakan fotografi edisi Aidilfitri bersama Harian Metro pada 21 Mei lalu, Fasha berkongsi dengan Harian Metro, dia baru sahaja mengetahui dirinya hamil tiga minggu.

Aidil mengalir air mata kegembiraan tatkala Fasha melakukan kejutan memaklumkan dirinya kini berbadan dua. Rakaman video kejutan itu turut dikognsi Aidil di laman Instagram miliknya.

Menurut Fasha, dia dan Aidil memang mahu menimang cahaya mata secepat mungkin.

“Kami tidak seperti pasangan pengantin baru lain yang lebih suka menikmati bulan madu sebelum menimang zuriat.

“Saya memang mahukan anak lagi apatah lagi usia pun sudah mencecah 35 tahun,” katanya.

Hasil perkahwinan pertama bersama Rizal Ashram, Fasha dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima.

Kata Fasha, ini juga berkat doa anak-anak yang sejak dulu sering menyuarakan hasrat mahukan adik.

“Rayfal selalu cium perut saya dan berkata dia mahu adik. Doanya diangkat dan impiannya bakal menjadi kenyataan.

“Sebaik diberitahu mengenai kandungan ini, Rayfal dan Jemaima sangat gembira,” katanya.

Selain daripada itu kata Fasha, dia selalu berdoa setiap kali solat agar segera dikurniakan cahaya mata.

“Saya ada bacaan doa khas agar dikurniakan zuriat secepat mungkin. Syukur, Allah menerima doa saya dan diberikan rezeki secepat ini,” katanya.

Di awal kehamilan ini Fasha mengehadkan pergerakannya agar tidak terlalu lasak.

Bagaimanapun, akvititi wajib lebaran tetap diteruskan seperti biasa.

“Bagaimanapun Aidilfitri tetap disambut dengan meriah. Kunjung mengunjung tetap diteruskan seperti biasa.

“Lebih-lebih lagi kami pengantin baru, sudah tentu menziarah sanak saudara jauh dan dekat satu kemestian bagi mengeratkan silaturahim.

“Bukankah perkahwinan juga membawa makna penyatuan dua keluarga,” katanya.

Fasha dan Aidil bernikah pada 30 Mac lalu dan majlis resepsi berlangsung di kampung halaman Fasha di Perlis diikuti majlis menyambut menantu di tanah kelahiran Aidil di Rembau, Negeri Sembilan.

Bercerita mengenai rumah tangganya, Fasha bersyukur kerana bertemu jodoh dengan lelaki yang sangat menyayangi dirinya dan bertanggungjawab.

“Bayangkan sejak berbadan dua ini, abang Aidil akan memastikan saya tidak terlalu penat. Dia mahu saya dan kandungan sihat.

“Saya sebenarnya okay kerana sudah ada pengalaman. Jadi, saya tahu bagaimana hendak jaga diri dan kandungan.

“Cuma, saya faham abang Aidil risau. Maklumlah ini pengalaman pertamanya berdepan situasi isteri hamil dan bakal menimang cahaya mata,” katanya.

Hidup lebih terurus

Sementara itu, Aidil berkata hidupnya berubah selepas menyunting Fasha sebagai isteri.

Hari-hari yang dilaluinya kini jauh berbeza dengan zaman bujang dulu.

“Sekarang sudah ada yang menjaga makan pakai saya. Kalau nak tahu saya kurang gemar makan di luar.

“Jadi, saya berterima kasih kepada isteri yang setiap hari masak meskipun kini hamil. Dia pandai masak. Walaupun juadah ringkas, hasil air tangannya sangat sedap,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan lebaran, Aidil berkata mereka tidak mengamalkan sistem giliran dan lebih senang dengan apa juga keputusan yang diputuskan bersama.

“Tiada beza beraya di mana dulu kerana famili saya mahupun keluarga Fasha tetap keluarga saya. Tahun ini kami beraya di Perlis dulu kemudian barulah pulang ke Rembau,” katanya.

Bercerita mengenai dirinya yang bakal bergelar bapa, Aidil nyata teruja dan bahagia.

Bibirnya tidak lekang mengucapkan rasa syukur kerana dikurniakan rezeki secepat ini.

“Ramai berpesan supaya jangan terlalu seronok bercerita kerana kandungan masih baru dan belum cecah usia tiga bulan.

“Saya sangat bersyukur dan berharap peminat mendoakan Fasha dan anak dalam kandungan sihat,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 7:30am
d