rap

Kemunculan semula sebab anak perempuan

Oleh Amirul Haswendy Ashari

"SAYA nak buat 'kemunculan semula' sebab anak perempuan saya," kata pelakon dan pengarah, Mikail Andre yang berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Anak pelakon Khatijah Tan itu berkata, antara sebab lain kerana isterinya, Siti Nur Aima Fauzi juga sudah bertukar bekerja di Ipoh sejak beberapa bulan lalu.

"Selepas kahwin saya terus menetap di Pulau Langkawi selama dua tahun kerana isteri bekerja sebagai pensyarah di sana.

"Tahun ini barulah dapat anak pertama, Medina Andre yang baru berusia dua bulan," katanya.

Pelakon filem Hantu Botol Kicap dan 1 Lawan 1 itu ketika ditemui Harian Metro, berkata kali terakhir dia berlakon filem Hantu Malaysia arahan abangnya, Pierre Andre pada 2014.

Kemudian dia sempat mengarah dua telefilem berjudul 13 Tiang Cinta dan Jenayah Cinta pada 2017.

"Itulah kerja terakhir saya dalam bidang seni dan terus fokus kepada mengurus keluarga yang baru dibina.

"Tahun ini saya nak habiskan masa dengan anak dan isteri selain fokus untuk mendapatkan kembali tubuh badan ideal seperti dua tahun lalu," katanya.

Mikail dan isteri berkahwin di Alor Setar pada 1 April 2017.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 5:51pm
d