rap

'Tolong doakan adik saya' - Afdlin Shauki

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

“KEJADIAN berlaku di Kota Damansara ketika Jefri mahu beli sesuatu di Petronas berdekatan rumahnya,” kata pelakon Datuk Afdlin Shauki mengenai adiknya, Jefri Adzman yang terbabit dalam nahas jalan raya petang semalam.

Afdlin ketika dihubungi Harian Metro berkata, adiknya yang menunggang motosikal jenis vespa dilanggar kereta Myvi dari arah tepi.

Akibat impak kuat pelanggaran, mangsa cedera parah di kepala dan dikejarkan ke sebuah hospital di Kota Damansara.

“Jefri masih kritikal walaupun selepas 4 jam menjalani pembedahan semalam.

“Kami minta tolong keluarga, sahabat, kenalan serta rakyat Malaysia agar mendoakan dia cepat sembuh dan di permudahkan urusannya.

”Sebagai abang, saya mengucapkan ribuan terima kasih dan jasa anda semua hanya Allah SWT sahaja dapat membalasnya,” kata Afdlin.

Melalui satu entri di Instagram milik Afdlin semalam, pelakon itu berkongsi berita sedih mengenai adiknya terbabit dalam nahas jalan raya.

“Ya Allah, Kau selamatkanlah adikku Jefri Adzman Akhsan yang baru sahaja ditimpa kemalangan tadi.

“Dia akan masuk ke bilik pembedahan 6.30 petang ini (semalam) untuk membuang pendarahan di otaknya.

“Dia adik yang terbaik yang mana-mana abang akan ada. Tolong selamatkan orang baik ini dan pulihkan dia seperi sediakala. Aku hamba-Mu yang hina memohon kepada-Mu ya Allah. Selamatkanlah beliau!” tulis Afdlin.

“Jef kena kuat! Awak boleh lakukan adik. Awak kuat. Kuat daripada saya. Tolong doakan sahabat!” tulis Afdlin lagi merayu orang ramai mendoakan adiknya pulih dan dipermudahkan segala urusan.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 3:59pm
d