rap

Afdlin minta bantuan saksi kemalangan adik

Oleh Amirul Haswendy Ashari

SUSULAN nahas jalan raya menimpa adiknya, Datuk Afdlin Shauki memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kereta Perodua Myvi berwarna hijau yang dipercayai melanggar adiknya, Jefri Adzman pada petang Ahad lalu.

Menerusi rakaman video di Instagram (IG) Live pelakon itu, Afdlin meminta sesiapa yang mempunyai rakaman 'dashcam' dan menjadi saksi kejadian untuk menghubunginya segera.

"Saya nak minta bantuan sesiapa yang ada rakaman video 'dashcam' atau ternampak pelanggaran adik saya di lokasi kejadian berlanggar dengan kereta Myvi warna hijau, boleh tak minta tolong DM (mesej terus) saya.

"Saya perlukannya untuk dijadikan bukti kejadian. Kalau ada apa-apa maklumat, tolong bantu saya," katanya.

Dalam rakaman itu, beliau turut menunjukkan lokasi kejadian yang dipercayai berlaku di simpang tiga lampu isyarat berhampiran stesen minyak Petronas, Kota Damansara.

Harian Metro semalam melaporkan Jefri Adzman masih berada dalam keadaan kritikal dan sudah menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di otak.

Malah, Afdlin melalui laman sosial, turut merayu bantuan orang ramai untuk mencadangkan mana-mana pakar neurologi bagi mendapatkan pandangan kedua mengenai situasi menimpa adiknya itu.

"Dia sudah menjalani pembedahan selama empat jam bagi membuang darah beku dan saya minta tolong keluarga, sahabat, kenalan kami serta rakyat Malaysia mendoakan dia cepat sembuh dan di permudahkan urusannya.

"Saya sebagai abang, dahulukan dengan ribuan terima kasih dan jasa anda semua hanya Allah SWT sahaja dapat membalasnya," katanya.

Afldin berkata, kejadian berlaku di Kota Damansara ketika Jefri mahu membeli sesuatu di Petronas berhampiran rumah.

Katanya, adiknya yang menunggang vespa dipercayai dilanggar sebuah kereta Myvi dari arah tepi.

Akibat pelanggaran, mangsa terpelanting dan mengalami cedera parah di kepala lalu dikejarkan ke sebuah hospital di Kota Damansara.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 2:13pm
d