rap

'Instafamous' rosakkan industri, jejas anak seni

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA melihat terlampau ramai selebriti internet atau ‘instafamous’ yang merosakkan industri sekali gus menjejaskan masa depan golongan anak seni.

“Semua orang mahu dikenali sebagai ‘instafamous’ tetapi tidak tahu apa sumbangan mereka pada industri hiburan tanah air?,” kata pelakon dan pengacara Sarah Hildebrand ketika mengulas status yang dimuat naik di laman Instagram miliknya hari ini.

Dalam Instagramnya, Sarah meminta orang ramai berhenti mempopularkan orang bodoh menerusi status berbunyi ‘Stop Making Stupid People Famous’ tetapi dia tidak menujukan kepada mana-mana ‘instafamous’ dan ia hanya secara umum.

Menurut pelakon yang dikenali menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu, masyarakat juga sudah ada medium bagi menyebarkan nilai baik tapi ramai yang menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri.

“Ada yang menggunakan populariti dengan melakukan perkara bodoh dan memuat naik benda tidak berfaedah,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, selebriti media sosial hanya merosakkan pasaran untuk artis tempatan dalam industri seni tempatan.

“Contohnya, ramai hos atau pelakon yang berbakat tapi tawaran itu diberikan kepada ‘instafamous’ yang memiliki pengikut ramai di media sosial walaupun belum pasti mereka boleh berlakon atau mengacara.

“Golongan artis turut terjejas bila harga bayaran lakonan yang ditetapkan ‘instafamous’ jauh lebih rendah,” katanya.

Apapun, Sarah berharap warganet juga lebih berhati-hati untuk menjadi pengikut mana-mana ‘instafamous’ di media sosial.

“Semoga golongan artis dan ‘instafamous’ juga lebih bijak dengan apa yang mereka mahu kongsi di sosial media,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 4:11pm
d