rap

Pembantu rumah nak gaji RM3,000 sebulan - Nourul Depp

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Nourul Depp meluahkan rasa tidak puas hati terhadap etika pembantu rumah warga asing yang tidak ikhlas bekerja dan memberi alasan kurang munasabah.

Bahkan, Nourul, 41, berkata dia terkejut apabila ada pembantu rumah yang meminta gaji RM3,000 sebulan dan menetapkan syarat bekerja.

“Saya geram apabila pembantu rumah warga asing yang bekerja dengan saya sekarang tidak ikhlas melakukan kerjanya. Dia cuma bekerja demi mendapatkan gaji semata-mata.

“Baru dua bulan bekerja, dia sudah tertekan dengan kerjanya atas alasan tidak suka jaga budak. Terpaksalah saya cari pengganti serta-merta sebelum tamatkan khidmatnya.

“Bagaimanapun, terkejut juga apabila ada yang datang mohon kerja meminta gaji tidak masuk akal sampai RM3,000. Dia bahkan tetapkan syarat tidak mahu tinggal bersama dan kerja hanya 10 jam sehari,” katanya.

Nourul bagaimanapun bersyukur sudah mendapat pengganti baru iaitu pembantu rumah warga tempatan untuk keluarganya.

“Selepas menemubual empat calon, saya dapat juga calon yang tepat untuk menggantikan pembantu terdahulu. Lebih menggembirakan, calon itu adalah warga tempatan.

“Saya mengambilnya bekerja disebabkan dia benar-benar mahukan kerja ini dan datang daripada keluarga susah. Baguslah, lebih baik saya bantu orang kita sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nourul memuat naik luahannya di Instagram mengenai kerenah pembantu rumahnya juga warga asing yang gagal melakukan tugas dengan baik.

Menurutnya, dia geram disebabkan alasan pembantunya itu kurang munasabah.

“Geram sungguh kat orang gaji yang baru kerja dua bulan ini. Beritahulah betul-betul kalau tak suka budak. Kasihan Zachary dan Raphael.

“Tak apalah, selalunya jadi macam tu sebab Allah nak bagi rezeki pada orang lain yang lebih berhak dan memerlukan,” tulisnya di Instagram.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 6:45pm
d