rap

Penyanyi lagu Kelmarin didakwa berkhalwat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

VOKALIS kumpulan Seventeen, Ifan berdepan hukuman sekiranya didapati bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita dikenali sebagai Citra Monica di sebuah apartmen di Ciumbuleuit, Kota Bandung.

Portal berita tempatan, Kapanlagi.com melaporkan, suami wanita itu sudah membuat laporan polis di wilayah Bandung pada Selasa lalu.

Pegawai polis yang mengesahkan laporan itu berkata, siasatan lanjut akan dijalankan ke atas Ifan.

"Ya betul, ia dilaporkan suami Citra Monica," katanya.

Laporan polis itu dibuat atas alasan wanita itu masih berstatus isteri orang.

"Dilaporkan kerana belum bercerai," katanya.

Terdahulu, video penyanyi lagu Kelmarin itu ditahan pihak berkuasa tular di media sosial sejak Isnin lalu.

Difahamkan serbuan itu dibuat sendiri suami wanita berkenaan pada Ramadan lalu.

Video itu memaparkan seorang wanita berbaju hitam dan berambut panjang keluar dari sebuah bilik.

Wanita yang didakwa bernama Citra Monica itu kelihatan panik kerana wajahnya dirakam oleh beberapa lelaki.

Ifan atau nama sebenarnya, Riefian Fajarsyah mencuri perhatian ramai apabila kehilangan isteri tercinta, Dylan Sahara dan tiga anggota kumpulannya yang meninggal dunia dalam bencana tsunami Anyer, Banten pada Disember tahun lalu.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 2:36pm
d